'Alhamdulillah', 'Insya-Allah' oleh bukan Muslim dibenar selagi dengan niat baik - IKIM

Mohamed Azam menjelaskan, penggunaan lafaz seperti 'Alhamdulillah' dan 'Insya-Allah' oleh bukan Muslim adalah dibenarkan selagi digunakan dengan niat baik, beradab serta menghormati makna asal lafaz tersebut. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Penggunaan lafaz seperti “Alhamdulillah” dan “Insya-Allah” oleh bukan Muslim adalah dibenarkan selagi digunakan dengan niat baik, beradab serta menghormati makna asal lafaz tersebut.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, ungkapan berkenaan pada hakikatnya merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan dan pujian kepada Allah, namun dari sudut bahasa dan adat, ia tidak terhad kepada orang Islam sahaja.
Menurutnya, dalam konteks masyarakat majmuk, hukum penggunaan lafaz berkenaan oleh bukan Muslim bergantung kepada niat dan konteks, selaras dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata lafaz.
“Ia dibenarkan sekiranya digunakan dengan niat baik, beradab dan menghormati makna asalnya, namun tidak dibenarkan jika digunakan untuk memperolok atau menyalahgunakan makna kerana boleh merendahkan kesucian agama,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
IKIM turut merujuk pandangan Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama‘ al-Islami yang menyatakan bahawa lafaz pujian kepada Allah oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau menghina agama.
Menurut Mohamed Azam, para ulama Islam secara ijmak bersetuju bahawa penilaian hukum dalam perkara ini perlu mengambil kira niat, maksud dan konteks masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam agar mengamalkan sikap husnuzon atau bersangka baik serta berhikmah dalam menangani isu berkenaan, selain mencontohi pendekatan Nabi Muhammad SAW yang memahami dan mendoakan hidayah bagi bukan Muslim selagi ungkapan yang digunakan tidak menghina atau menyalahi akidah.
Pada masa sama, masyarakat bukan Islam juga disaran memahami makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan bagi memastikan penggunaannya tidak disalah tafsir.
Menurut beliau lagi, pendekatan sedemikian bukan sahaja dapat menjaga kesucian lafaz Allah, malah menjadi kaedah dakwah yang beradab, berhikmah serta menyumbang kepada keharmonian hidup bermasyarakat. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


