MALAYSIA
AMM ke-58: SEANWFZ, hak asasi dan keanggotaan Timor-Leste antara isu tumpuan

Amran bercakap pada sidang media praacara sempena AMM ke-58 hari ini.
KUALA LUMPUR: Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), hak asasi kemanusiaan, keanggotaan penuh Timor Leste dalam ASEAN antara isu menjadi tumpuan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin bercakap pada sidang media praacara sempena AMM ke 58 dan mesyuarat berkaitan memberitahu, ini termasuk kemungkinan penyertaan negara-negara yang memiliki senjata nuklear sekali gus menunjukkan tanda kemajuan.
“Isu penyertaan oleh negara-negara yang memiliki senjata nuklear terus mendapat perhatian. Perkara utama ialah sama ada negara-negara yang memiliki senjata nuklear ini bersedia untuk menyertai Protokol SEANWFZ, sama ada dengan atau tanpa membuat sebarang pengecualian," katanya.
Amran turut menambah bahawa ASEAN juga mengambil kira amalan zon bebas senjata nuklear lain dalam pertimbangan namun komited untuk negara ASEAN menandatangani Protokol SEANWFZ."ASEAN tetap komited untuk menggalakkan negara-negara bersenjata nuklear menandatangani Protokol SEANWFZ dan menyokong usaha global bagi mencegah percambahan senjata nuklear," katanya.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan, mesyuarat AMM ke-58 dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk keselamatan, kerjasama ekonomi, dan pembangunan mampan di rantau Asia Tenggara.
Pada Selasa, mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) akan bermula dengan barisan Menteri luar ASEAN membincangkan laporan kemajuan suruhanjaya serta penyertaan Timor-Leste hingga ke Perjanjian SEANWFZ.
Program dimulakan dengan pertemuan hormat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Timor-Leste oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut merasmikan pembukaan rasmi AMM-58.
Anwar akan mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 yang berlangsung dalam dua sesi — Pleno dan Retreat — melibatkan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor Leste serta Setiausaha Agung ASEAN.
Sesi pleno akan menumpukan kepada isu-isu berkaitan pembinaan Komuniti ASEAN, susulan penggubalan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama Kita.
Para menteri juga akan menilai pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang meluluskan kemasukan penuh Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi usaha memperkukuh Peranan Pusat ASEAN dalam landskap geopolitik dan geoekonomi yang semakin mencabar, serta keutamaan di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia, termasuk memperkukuh kepercayaan strategik, meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, mengurangkan ketidaksamaan dan memperbaiki taraf hidup rakyat.
Pada Rabu, majlis tandatangan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) turut dijadualkan, dengan Perdana Menteri mengetuai Menteri-Menteri Luar ASEAN menyaksikan majlis tandatangan instrumen penyertaan oleh Algeria dan Uruguay.
TAC yang mula diperkenalkan pada 1976 menekankan penyelesaian secara aman dan kerjasama serantau, kini telah disertai oleh 55 negara.
Pada Khamis, Menteri-Menteri Luar ASEAN akan memulakan siri Mesyuarat Pasca Menteri (PMC) tahunan bersama 11 Rakan Dialog ASEAN termasuk Australia, China, Kanada, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Persekutuan Rusia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Mesyuarat dijangka mengukuhkan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China, dengan tumpuan kepada tiga tonggak utama Komuniti ASEAN antaranya politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Sepanjang hari itu, ASEAN akan mengadakan PMC bersama Australia, Kanada, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea dan Amerika Syarikat, dengan perbincangan tertumpu kepada kerangka kerjasama dua hala serta isu serantau dan antarabangsa.
Mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Switzerland dan Sekretariat ASEAN akan membuka ruang untuk menilai dan membimbing pembangunan hubungan dialog sektoral ASEAN-Switzerland.
Hari terakhir AMM-58 akan dimulakan dengan mesyuarat tiga hala antara Malaysia, Turkiye dan Sekretariat ASEAN, dipengerusikan oleh Menteri Luar disusuli dengan PMC ASEAN bersama United Kingdom dan Kesatuan Eropah.
Menteri Luar akan turut mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-15 (EAS FMM) yang melibatkan 18 negara, termasuk semua negara anggota ASEAN dan lapan Rakan Dialog termasuk Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat.
Perbincangan akan tertumpu kepada dialog dan kerjasama dalam pelbagai isu strategik, politik dan ekonomi demi mempromosikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Mesyuarat terakhir ASEAN yang akan dipengerusikan oleh Menteri Luar ialah Forum Serantau ASEAN ke-32 (ARF), forum utama rantau ini mengenai isu keselamatan, melibatkan 27 negara. Forum ini akan menggalakkan dialog dan konsultasi membina mengenai isu politik dan keselamatan, termasuk usaha membina keyakinan dan diplomasi pencegahan di rantau Asia Pasifik.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami