MALAYSIA
AMM ke-58: Konflik di Gaza jadi antara fokus utama

Amran (tengah) pada sidang media pembuka tirai AMM Ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Isu konflik di Gaza akan terus menjadi fokus pada Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan terutama dengan perkembangan terbaharu berhubung kemungkinan Israel dan Hamas bersetuju untuk pelaksanaan gencatan senjata.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, berkata Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV) akan berlangsung pada Jumaat akan meneliti perkembangan lanjut serta pendirian mengenainya.
"Sudah tentu ini adalah isu penting bagi ASEAN. Baru-baru ini, Menteri Luar ASEAN mengeluarkan kenyataan mengenai perkembangan terkini di Asia Barat dan akan terus menjadi isu yang diberi perhatian oleh ASEAN.
"Kita akan melihat perkembangan dalam beberapa hari akan datang. Sudah tentu, sebarang perkembangan positif berkaitan gencatan senjata ini akan dibincangkan Menteri Luar dan mereka akan membentuk pendirian terhadap perkembangan itu," katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media pembuka tirai AMM Ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Rumah Putih esok bagi mendesak pemimpin Israel itu menamatkan peperangan dengan Hamas di Gaza.
Trump berkata, Israel bersetuju untuk menghentikan pertempuran selama 60 hari, manakala Hamas pula memberi maklum balas positif terhadap cadangan yang disokong AS, walaupun pemeteraian perjanjian muktamad untuk menamatkan perang yang sudah berlarutan 21 bulan bukan sesuatu yang mudah.
Sementara itu, Amran memaklumkan Menteri Luar ASEAN masih meneruskan usaha untuk memuktamadkan penyertaan beberapa negara yang sudah menyatakan hasrat untuk menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).
Setakat ini katanya, terdapat 55 negara yang sudah menyertai TAC dan terdapat sesetengah negara sudah selesai proses ke arah penyertaan itu, dan hanya menunggu pemeteraian perjanjian.
"Apa yang penting, semangat dan minat dari negara berkenaan berhubung prinsip keamanan dan serantau dalam menyelesiakan sebarang pertikaian isu secara aman.
"TAC adalah pembukaan kepada lebih banyak kerjasama antara ASEAN dan negara luar," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami