DUNGUN: Perubahan ketara mangsa lemas yang begitu berselera makan sebelum ke sekolah pada pagi Isnin menjadi petanda akhir sebelum ditemukan meninggal dunia di Sungai Dungun, dekat Kampung Rajawali, di sini, awal pagi Selasa.

Ibu mangsa, Al Miah Nor Ali, 47, berkata, kebiasaannya, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid, 12, jarang bersarapan pagi dan lebih gemar membawa bekal ke sekolah.

"Sebelum ke sekolah pada pagi Isnin lalu saya ada buatkan dia sarapan sandwich untuk dibawa ke sekolah. Tetapi, dia beritahu tidak mahu bawa bekal.

"Pagi itu saya lihat dia agak lain. Biasanya dia susah nak makan pagi, tetapi semalam (Isnin) dia sangat berselera. Tidak seperti kebiasaannya. Tak sangka itu juadah dia yang terakhir," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun di sini pada Selasa.

Menurut Al Miah Nor, selain berselera makan, anaknya juga turut menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih pendiam berbanding sebelum ini.

"Saya pelik juga sebab guru-guru ada beritahu dia lebih pendiam dalam seminggu ini. Biasanya dia seorang yang peramah dan aktif sebab dia merupakan atlet sekolah dan gemar bergaul dengan semua rakan-rakan dan guru di sekolah," katanya.

Al Miah Nor berkata, tragedi menimpa anaknya itu diketahui apabila salah seorang rakan anaknya datang ke rumah yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan sungai.

BACA: Mayat kanak-kanak lemas ditemui

"Pada mulanya arwah anak hanya beritahu hanya ingin bermain bola sepak di kawasan lapang berdekatan sungai. Tak sangka pula dia mandi sebab saya selalu pesan supaya jangan mandi sungai.

"Walaupun rasa sedih, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Saya bersyukur kerana jasadnya selamat ditemui kira-kira jam 2.30 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, jenazah Abdul Rafiuddin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pelandang, Pulau Serai, petang Selasa.

Sementara itu, rakan mangsa, Wan Adib Hakimi Wan Ahmad Khairudin, 12, berkata, tragedi itu berlaku disebabkan air pasang ketika mereka bermain di beting pasir di sungai itu.

"Saya dan tiga rakan termasuk Abdul Rafiuddin cuba berenang menyelamatkan diri selepas menyedari air pasang ketika bermain di beting pasir yang timbul ekoran air surut kira-kira 30 meter daripada darat.

"Kami memang nak naik ke darat sebab takut tak sempat naik kalau air laju. Ketika berenang, saya dengar Abdul Rafiuddin dan seorang lagi rakan, Muhammad Qhalish Iman Hazimi menjerit meminta tolong dan beritahu mereka tak boleh berenang.

"Saya dan rakan-rakan lain baling pelampung dan tarik Muhammad Qhalish Iman, malangnya kami tak sempat selamatkan Abdul Rafiuddin kerana dia tenggelam dan terus hilang. Kami segera dapatkan pertolongan penduduk kampung," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang pada Isnin, Abdul Rafiuddin yang merupakan anak keenam dari tujuh beradik disedari hilang ketika mandi sungai bersama lima rakannya. - Sinar Harian