BERN, Switzerland: Pihak berkuasa Switzerland meneruskan misi mencari Emmeril Khan Mumtadz (Eril), anak kepada Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil yang dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang di Sungai Aare pada 26 Mei lepas.

Jurucakap polis, Joel Regli dipetik agensi AP sebagai berkata, Eril dipercayai hilang pada pagi Khamis sewaktu sedang berenang bersama adiknya Camillia Laetitia Azzahra, dan teman mereka, di sungai berkenaan, yang terletak beberapa ratus meter ke hulu dari pusat bandar.

Anak sulung Ridwan itu berada di Switzerland bersama keluarganya untuk mencari institut pendidikan bagi melanjutkan pendidikannya sehingga ke tahap sarjana.

“Kedua-dua wanita berkenaan juga mengalami kesukaran akibat arus deras, tetapi berjaya diselamatkan orang awam. Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu kemudian, dan operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan,” kata Regli dalam laporan tersebut.

Sementara itu, Ridwan yang ketika kejadian sedang melakukan lawatan kerja ke England, terus terbang ke Switzerland sejurus dimaklumkan mengenai insiden tersebut.

Dalam pada itu wakil keluarga, Elpi Nazmzaman dipetik agensi berita Jakarta Globe sebagai berkata, Eril cuba hendak berenang ke permukaan sungai, tetapi dihanyutkan arus deras.

“Keluarga berharap agar Eril berjaya ditemui dalam keadaan yang selamat,” katanya lagi.