Anak maut tertinggal dalam kereta, ibu masih terkejut pemergian mangsa

Radhi Muslim
Jun 15, 2019 12:19 MYT
Mangsa, Nuryarifah Adha Diiandra, 2 tahun, meninggal dunia akibat kesan haba selepas terperangkap dalam kereta berkenaan. - Foto ihsan keluarga mangsa
Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta di Taman Aman, Lahad Datu, Rabu lalu, masih sukar menerima kehilangan mangsa.
“Allahu Akbar, saya tidak dapat luahkan apa-apa. Hati saya masih perit bila teringatkan arwah dalam keadaan menyayat hati,” luah Effarizan Asim, 31 tahun.
Mangsa, Nursyarifah Adha Diiandra, 2 tahun, meninggal dunia akibat kesan haba selepas terperangkap dalam kereta berkenaan.
Menurut Effarizan, pada hari kejadian dia memandu kereta seorang rakan yang ditinggalkan.
“Jika kereta saya sendiri, arwah biasa keluar dan masuk sendiri. Namun tidak sangka juga semua boleh berlaku.
“Namun, inilah ujian yang harus saya hadapi,” katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.
Menurutnya, dia tidak hiraukan komen netizen di luar sana, sebaliknya hanya mampu fikirkan tentang arwah anaknya itu sahaja.
BACA: Tertinggal dalam kereta, kanak-kanak meninggal dunia akibat kesan haba
“Hingga kini saya masih rasa pedih teringatkan arwah. Saya sangat-sangat sayang dan cintakan anak saya.
“Saya tidak tahu bagaimana meneruskan kehidupan dengan perasaan bersalah ini.
“Doakan saya dan keluarga mampu melalui semua ini,” katanya.
Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.35 petang Jumaat itu, mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih selain melecur pada muka serta lengan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa menemani ibunya menjemput pulang dua beradiknya yang lain di sekolah menaiki kereta Perodua Bezza pada pukul 1 tengah hari.
#Effarizan Asim #kanak-kanak meninggal dunia akibat kesan haba #kanak-kanak perempuan #kanak-kanak tertinggal dalam kereta #kesan haba #Lahad Datu #Nursyarifah Adha Diiandra #Taman Aman