Firma senjata api yang dikaitkan dengan anak perempuan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memperolehi lesen perniagaan sebelum beliau menjawat jawatan itu.

Tegas Khalid, beliau juga lebih awal telah melarang syarikat milik anaknya itu untuk membida sebarang tender kerajaan mahupun polis.

Sarawak Report sebelum ini mendakwa bahawa syarikat senjata api, Nilai Arms and Ammunitions milik anak perempuan Khalid mempunyai konflik kepentingan yang besar kerana status Khalid sebagai KPN yang boleh meluluskan lesen senjata api.

Kata Khalid, sekiranya benar ia berlaku, Sarawak Report pasti akan mendedahkan laporan berkaitan manfaat yang didapati firma senjata anaknya itu.

“Mereka memperoleh lesen berniaga dan memperbaiki senjata api senjata api sebelum saya dilantik menjadi KPN lagi.

“Malah, saya juga telah melarang mereka menyertai mana-mana tender bekalan senjata sama ada kerajaan atau polis.

"Jika perkara itu ada terjadi pasti Sarawak Report dan menyiarkannya, kerana mereka memang mencari benda-benda macam itu,” katanya dalam sidang media selepas Bicara Persada XXIX bersama IGP di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada Isnin.

Bagaimanapun, Khalid enggan mengulas lanjut bagi tidak mengganggu siasatan yang akan dijalankan ke atas isu berkenaan.