Skip to main content

Malaysia

'Anak tidur peluk baju arwah' – Luahan balu suami maut dirempuh pemandu mabuk

Klang , 1 April 2026.Reaksi Isteri mangsa ,Nor Nadia Abdul Majid, selepas keluar dari kamar Mahkamah Majistret Klang untuk mengikuti pertuduhan yang menyebabkan kematian suaminya oleh seorang individu yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Nor Nadia (tengah) hadir di Mahkamah Majistret Klang sekitar jam 9.20 pagi, Rabu bagi melihat proses keadilan untuk suaminya yang maut dilanggar pemandu disyaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR

KLANG: “Semalam anak-anak tidur peluk, pakai baju arwah.”

Demikian luahan hiba seorang balu, Nor Nadia Abdul Majid, yang masih cuba menerima kehilangan suaminya dalam nahas tragis dirempuh pemandu disyaki di bawah pengaruh alkohol dan dadah, pada Ahad lalu.

Advertisement

Menurut Nor Nadia, keadaan anak-anaknya amat menyayat hati apabila mereka masih mencari dan merindui kelibat bapa, Amirul Hafiz Omar, yang telah tiada.

“Semalam saudara mara ada bawa anak-anak pergi ke kubur. Yang si kecil tu tak pernah pergi kubur… dia cakap ‘Papa dekat dalam, Papa dekat dalam'.

"Anak seorang dengan saya, lagi dua di kampung. Saya harap mereka boleh terus kuat, jangan rasa bersalah, sebab arwah ketika kejadian keluar untuk beli buku teks.

"Saya paling risau anak dibuli di sekolah sebab perkara ini,” katanya sambil menahan sebak ketika ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Majistret Klang, hari ini.  

Tiga cahaya mereka adalah Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, dan Nur Humaira, 2.

Seterusnya, Nor Nadia mahu memfailkan saman sebanyak RM1 juta terhadap tertuduh, Saktygaanapathy Ravichandran yang kini didakwa di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian suaminya, pada 29 Mac lalu.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

"Syukur Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah atas pertuduhan ini (Seksyen 302), lega sedikit saya rasa. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa, selain daripada itu saya serahkan kepada peguam," kata Nor Nadia.

Majistret A Karthiyayini menetapkan 3 Jun sebagai tarikh sebutan semula, dalam tempoh berkenaan pihak pendakwaan akan melengkapkan dokumen berkaitan kes untuk dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Dalam perkembangan sama, tertuduh mengaku bersalah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berkaitan dadah jenis benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC), yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.

Sebelum ini, Amirul Hafiz yang menunggang motosikal dirempuh oleh kereta Honda City dipandu tertuduh menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan tertuduh berada di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah ketika nahas.

 

Must Watch Video