KUALA LUMPUR :Kerajaan melakukan keputusan tepat sekiranya melaksanakan darurat di kawasan Bugaya dan Gerik bagi mengelakkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan di kawasan itu dalam masa terdekat.

Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, keputusan itu wajar dibuat memandangkan kes COVID-19 di Malaysia kerap merekodkan angka melebihi 1,000 kes saban hari.

Menurutnya, melaksanakan PRK pada waktu sebegini adalah tidak baik untuk negara dan rakyat.

“Kita berpandangan bahawa di Batu Sapi, Bugaya dan Gerik adalah kawasan yang sekiranya dilaksanakan PRK, mungkin boleh cetuskan penularan COVID-19 yang lebih besar.

“Saya berpandangan bahawa kerajaan sedang berusaha menangani masalah ini.

“Sekiranya dimohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di kawasan berkenaan untuk tidak diadakan PRK buat sementara waktu, ia adalah pilihan yang baik,” katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan yang berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengisytiharkan darurat di tiga kawasan itu.

Menurutnya, pertimbangan itu bagaimanapun bergantung kepada penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerajaan hari ini telah berusaha sedaya upaya membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini dengan menggunapakai Akta Pencegahan dan Kawalan Berjangkit 1988 (Akta 342) dan pendekatan pengurusan kesihatan awam.

"Namun, negara masih berhadapan dengan penularan wabak COVID-19. Semua sedia maklum, negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19 yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

"Sehubungan itu, bagi mengelak perkara sama berlaku, kerajaan memutuskan pelaksanaan Proklamasi Darurat Perkara 150 (1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan untuk dilaksanakan di Parlimen Batu Sapi bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) berkenaan," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.