Skip to main content

Malaysia

Ancaman senjata api di perairan Kelantan antara cabaran Maritim Kelantan

PASIR PUTEH, 8 Mac -- Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali hari ini.  APMM Kelantan berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar 16 pendatang warga Myanmar termasuk lima wanita melalui laluan sungai di Kota Bharu, dalam satu operasi awal pagi pada Jumaat lepas.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kamal berkata pihaknya turut menerima maklumat dan dakwaan daripada penduduk di sekitar Sungai Kelantan yang dikatakan pernah diugut supaya tidak membocorkan maklumat berkaitan aktiviti dan lokasi pendaratan bot penyeludup. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berkemungkinan berdepan risiko keselamatan dengan penyeludup yang disyaki memiliki senjata api ketika menjalankan operasi membanteras kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin di perairan Kelantan.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata ancaman berkenaan perlu dipandang serius berikutan kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin yang semakin licik dan agresif, khususnya di sepanjang laluan Sungai Kelantan di Tumpat hingga Kuala Besar, di sini.

Beliau berkata laluan tersebut sering menjadi perhatian pihak berkuasa kerana dipercayai digunakan sindiket untuk menempatkan pendatang tanpa izin sebelum dibawa ke lokasi tertentu bagi mengelak dikesan.

"Operasi membanteras kegiatan ini bukan sahaja berdepan cabaran dari segi taktik penyeludup yang sentiasa berubah, malah terdapat kemungkinan mereka mempunyai senjata api bagi melindungi kegiatan serta melarikan diri sekiranya dihidu pihak berkuasa.

"Oleh itu, aspek keselamatan anggota sentiasa diberi keutamaan ketika melaksanakan operasi, terutama apabila berhadapan dengan suspek yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Kamal berkata pihaknya turut menerima maklumat dan dakwaan daripada penduduk di sekitar Sungai Kelantan yang dikatakan pernah diugut supaya tidak membocorkan maklumat berkaitan aktiviti dan lokasi pendaratan bot penyeludup.

Katanya, perkara itu menunjukkan sindiket bukan sahaja bergantung pada rangkaian mereka di laut, malah dipercayai mempunyai rangkaian tertentu di daratan untuk membantu melancarkan kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin terbabit.  

"Penduduk yang tinggal berhampiran laluan sungai dan kawasan pendaratan mempunyai peranan penting kerana mereka antara pihak yang dapat mengesan pergerakan bot mencurigakan pada peringkat awal.

"Namun, kita memahami kebimbangan mereka terhadap keselamatan diri dan keluarga sekiranya menerima ancaman daripada pihak yang terbabit dengan kegiatan ini," katanya.

Kamal berkata sindiket penyeludupan sanggup mengeluarkan modal besar termasuk membeli bot yang dilengkapi dengan enjin berkuasa tinggi bagi memastikan perjalanan dapat dilakukan dengan lebih pantas dan memudahkan mereka meloloskan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata penggunaan enjin berkuasa tinggi turut memberikan kelebihan kepada penyeludup untuk bergerak dalam tempoh singkat dari kawasan pendaratan ke lokasi lain.

"Hal ini menunjukkan bahawa mereka sanggup berbelanja besar kerana keuntungan yang diperoleh daripada kegiatan penyeludupan pendatang tanpa izin adalah tinggi.

"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, bayaran yang dikenakan boleh mencecah antara RM5,000 hingga RM25,000 seorang bagi setiap pendatang tanpa izin yang dibawa masuk ke Malaysia, bergantung pada laluan, destinasi dan perkhidmatan yang disediakan sindiket," katanya.

Beliau berkata nilai keuntungan yang tinggi itu menjadi antara faktor kegiatan berkenaan terus dilakukan walaupun berdepan risiko ditahan dan didakwa.

"Penyeludup pendatang tanpa izin biasanya 'hati kering', walaupun bot mereka dikejar oleh bot pasukan maritim dan diarahkan berhenti, mereka tetap memecut laju," katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement