KUALA LUMPUR: Seorang anggota kumpulan militan Abu Sayyaf yang ditembak mati oleh polis Filipina dalam operasi di Panamao dekat Kepulauan Sulu pada Sabtu disahkan bukan dalam senarai dikehendaki.

Menurut Komander Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman, suspek yang dikenali sebagai Wahid Sahid, bagaimanapun seorang pengikut Al Munjir Yadah, salah seorang daripada 21 individu yang dikehendaki terbabit jenayah rentas sempadan dan penculikan di Sabah.

Jelas beliau lagi, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah di Sulu, Filipina.

"Belum ada rekod atau maklumat suspek Wahid Sahid ini pernah memasuki atau pernah terbabit di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Namun hasil risikan dan maklumat suspek ini adalah pengikut kepada Al Munjir yang disenaraikan antara 21 individu yang dikehendaki ESSCom kerana mempunyai kaitan atau terbabit dalam jenayah rentas sempadan serta penculikan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

"Kami hanya meletakkan mereka dengan jenayah rentas sempadan di ESSZone dalam senarai yang dikehendaki,” katanya memetik laporan tersebut.

Ahmad Fuad berkata, pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan di sepanjang perairan di Sabah susulan kejadian itu.

Katanya, pasukan keselamatan turut meningkatkan risikan untuk memastikan anggota Kumpulan Abu Sayyaf ini tidak memasuki perairan negara.

"Pasukan keselamatan Filipina sedang melakukan operasi besar-besaran terhadap kumpulan ini (Kumpulan Abu Sayyaf) dan kita juga meningkatkan kawalan dan pemantauan kerana kita bimbang mereka akan masuk ke Sabah.

"Kita akan tingkatkan kawalan dan pemantauan serta risikan," katanya.

Terdahulu, portal berita antarabangsa melaporkan seorang anggota kumpulan Abu Sayyaf yang terbabit aktiviti penyeludupan senjata, terbunuh dalam operasi polis di Panamao, Sulu, semalam.

Operasi itu dilakukan kira-kira jam 10.30 pagi membabitkan anggota komando polis dan disokong tentera.

Pasukan keselamatan Filipina berjaya mengesan lokasi suspek yang dikenali sebagai Wahid Sahid selepas anggotanya menyamar sebagai pembeli senjata api.

Pada Januari lalu, ESSCom mengeluarkan senarai terkini 21 penjenayah rentas sempadan dikehendaki di ESSZone termasuk lima nama baharu.

Lima suspek baharu yang disenaraikan ESSCom itu ialah Japs @ Mujafar Sawadjaan; Mujimmar Sawadjaan; Mundi Sawadjaan; Hj Wahad @ Talib serta Barah Udong @ Elvin.

Nama lain yang disenaraikan ialah Apo Mike @ Majan Sahidjuan; Al Munjir Yadah; Salip Mura; Raden Abuh; Marajan @ Manajan Asiri; Sangbas Parisko; Hamsan Pakkan @ Black Cobra; Sabri Madrasul @ Salip Jul; Ben Tatoh Quirino; Jul @ Jul Hasan; Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw; Tampi @ Bunju; Long Sahirin; Haibin Mubin @ Apo Kuhambo; Halipa dan Basaron Arok.