Beberapa anggota kabinet baharu kerajaan Pakatan Harapan memulakan tugas secara rasmi di kementerian masing-masing pagi ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Bangunan Perdana Putra di sini pada 10 pagi sebelum menandatangani surat memulakan tugas serta kemudiannya menghadiri taklimat khas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut memulakan tugas secara rasmi pagi ini Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN), yang juga satu-satunya anggota kabinet baharu yang pernah berkhidmat dengan kerajaan sebelum ini, tiba di ibu pejabat KDN, di sini, pada 9 pagi.

Antara yang hadir menyambut ketibaan Muhyiddin ialah Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Jadual hari pertama beliau dimulakan dengan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua-ketua jabatan dan agensi seliaan KDN.

Muhyiddin yang juga presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut dijadualkan mengadakan sidang media selepas mesyuarat itu pada 12 tengah hari.

Selain itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pula tiba di bangunan kementerian itu di sini pada 8.15 minit pagi, sebelum memulakan jadual hari pertama beliau dengan menghadiri taklimat bersama anggota pengurusan kementerian dan agensi terlibat.

Selain itu, Menteri Pertahanan baharu Mohamad Sabu memulakan tugas rasminya hari ini dan disambut dengan tabik hormat kawalan kehormatan utama di Dataran Wisma Pertahanan di Jalan Padang Tembak, pagi ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang melapor diri di pejabatnya pada 7.45 pagi, memulakan tugas dengan mendengar taklimat daripada pegawai pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Jabatan Perdana Menteri.

Pada sidang media pertamanya, Azmin antara lain memaklumkan kerajaan akan meneliti semula projek-projek mega dan projek yang telah diberi Surat Setuju Terima (SST) yang telah diluluskan sewaktu pentadbiran terdahulu.

Turut memulakan tugas pagi ini Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Mohd Harun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

-- BERNAMA