SEREMBAN: Seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan didenda RM17,500 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan meminta rasuah.

Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Najmi Zakaria, 38, yang mengaku bersalah atas pertuduhan itu. Hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 28 Mac lepas.

Mohd Najmi yang bertugas sebagai Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Gred AB29, didakwa meminta wang berjumlah RM3,500 daripada pemilik sebuah syarikat bagi memastikan tiada tindakan penguatkuasaan diambil berkaitan lapan kenderaan yang tidak mematuhi notis di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesalahan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu didakwa dilakukan di sekitar Seremban antara 13 Feb 2018 hingga 31 Mei 2019

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala Mohd Najmi diwakili peguam Asmawi Ismail.

Mahkamah bagaimanapun melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan lain selepas mengambil kira pengakuan bersalahnya dan persetujuan pihak pendakwaan.

-- BERNAMA