IPOH: Seorang lans koperal polis didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas 25 pertuduhan bersubahat dengan isterinya membuat tuntutan gaji palsu berjumlah lebih RM263,000 daripada sebuah syarikat farmaseutikal antara 2018 hingga 2020.

Mohd Iqbal Fakhruddin Roslan, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam didakwa bersubahat bersama Siti Aisyah Mohamad Amir, 31, seorang eksekutif sumber manusia di syarikat Hovid Berhad, memasukkan akaun nombor miliknya bagi menuntut gaji sedangkan dia bukan pekerja syarikat berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Hovid Berhad di Ipoh antara 31 Mei 2018 hingga 30 Jun 2020.

Dia didakwa di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin tidak menawarkan sebarang jaminan kerana bimbang tertuduh melarikan diri, memandangkan isterinya juga masih bebas dan sedang dikesan pihak berkuasa.

Peguam tertuduh, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff bagaimanapun memohon tertuduh diikat jamin RM2,000 untuk setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM125,000 bagi kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM dua kali sebulan.

Mahkamah menetapkan 17 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.