Kes murid sekolah: Tidak perlu berebut sebar maklumat, lebih baik laksana kawalan kendiri - CMCF

Pengguna media sosial diseru agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam berkongsi maklumat berkaitan jenayah melibatkan murid sekolah, demi menjaga maruah dan keselamatan kanak-kanak. - Gambar hiasan/Pexels
KUALA LUMPUR: Pengguna media sosial disarankan untuk melaksanakan kawalan kendiri sebelum mengupas tentang sesuatu isu yang kontroversi, khususnya, tentang beberapa siri insiden atau jenayah yang melibatkan murid-murid sekolah baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF), Mediha Mahmood berpandangan, kawalan itu termasuklah berkongsi maklumat peribadi sama ada pelaku atau mangsa, naratif yang direka atau didengari oleh sumber tidak sahih, dan sebagainya.
Tambahnya lagi, agak membimbangkan jika dilihat tentang sikap pengguna media sosial yang seolah-olah berebut untuk menjadi ‘the first to volunteer information’, tanpa mengetahui informasi berkaitan remaja bawah umur perlu dilindungi.
“Mungkin pengguna media sosial akan mengatakan bahawa, “Oh, media cuba untuk cover up the story” atau cuba menyelindungkan maklumat sebenar. Bagaimana kita nak mengatakan bahawa, satu, ada etika yang perlu dijaga, keduanya, perlindungan perlu diberikan dan juga bertanggungjawab dalam pelaporan.“Dan itu cukup berbeza dengan mereka yang menyebarkan dan paling cepat untuk menghantar gambar dan juga berkomunikasi video daripada kumpulan sebelah ke kumpulan sebelah yang lain.
“Ini soalan-soalan yang sentiasa ditanya oleh orang ramai. Kita perlu tahu berita—di mana, kenapa, bagaimana dan sebagainya. Tetapi bila kita pergi kepada aspek keselamatan kanak-kanak, privasi dan maruah, ini masih perlu dilindungi,” tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam Pantau Agenda Reformasi, Astro AWANI pada Rabu.
Dalam tempoh dua minggu sahaja, berlaku beberapa insiden melibatkan murid sekolah yang menggemparkan negara, termasuk kes salah laku seksual secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka, dan pembunuhan seorang murid sekolah menengah di Petaling Jaya.
Beberapa pengguna media sosial dilihat sengaja menyebarkan butiran peribadi seperti gambar pelaku dan mangsa, selain menyebarkan atau mereka naratif tentang kejadian terbabit.
Bagi pengguna media sosial, Mediha berkata, apabila mereka yang ingin menjadi ‘influencer’, mereka hanya mencipta kandungan untuk mendapat perhatian dan mencetuskan perbincangan.
Katanya lagi, golongan berkenaan tidak sedar bahawa impak sebenar daripada tindakan mereka itu jauh lebih besar daripada yang mereka sangka.
“Kita belum cukup memahami bahawa kesan psikologi dan sosial terhadap mangsa dan keluarga boleh menjadi sangat mendalam. Malah, ada juga yang menyebarkan manifesto atau objektif pelaku, yang sepatutnya tidak dikongsi kerana ia boleh memberi justifikasi atau inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama.
“Kita juga lihat bagaimana spekulasi dan rumusan awal tersebar sebelum pihak polis mengeluarkan kenyataan rasmi. Ramai yang membuat andaian bahawa pelaku mempunyai masalah mental, walaupun tiada bukti kukuh. Ini adalah satu bentuk victim blaming—apabila kita bertanya, ‘Apa yang mangsa buat sebelum kejadian berlaku?’—itu bukan satu pendekatan yang berfakta.”
“Kalau kita bercakap tentang satu kejadian jenayah yang serius, dan kita bertanya ‘apa yang mangsa buat sebelum dia pergi ke tempat itu?’, itu bukan satu pendekatan yang berfakta. Ini hanya akan menguatkan stereotaip, dan menyebabkan komuniti tertentu diberikan label yang tidak adil serta dituduh dengan pelbagai tuduhan,” tegasnya lagi.
Mediha berkata, semua pihak perlu berhati-hati kerana naratif yang tidak benar boleh membawa kepada penghinaan terhadap keluarga mangsa, dan juga kepada mereka yang mungkin sedang berjuang dengan isu kesihatan mental atau trauma.
Bagi pihak CMCF sendiri, Mediha berkata, selain saranan terhadap penguatkuasaan, mereka akan terus melihat cara untuk melakukan libat urus dengan pemegang taruh termasuk orang awam tentang pengubahsuaian kod etika.
“Pada masa yang sama kami juga akan meningkatkan lagi inisiatif kami untuk berbincang ataupun berbuat advokasi dan awareness dan dialog bersama bukan sahaja ibu bapa itu tapi anak-anak juga dengan guru.
“Ini demi memastikan kita semua ada platform yang sama ataupun prinsip yang sama tentang cara untuk mengaktifkan perbualan yang sesuai dengan anak-anak ataupun ramai-ramai di luar sana tentang perkara-perkara yang boleh membawa kepada insiden-insiden seperti ini,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami