Anggota polis Unit Rondaan Bermotor (URB) Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, 25, yang maut selepas dirempuh sebuah kereta dinaiki penjenayah di Parit Buntar semalam, sepatutnya bernikah esok.

Ayahnya Abdullah Mahmood, 49, berkata semalam merupakan hari terakhir Mohd Azuan bekerja sebelum bercuti untuk majlis pernikahan 28 Mei ini dan majlis resepsi pada 1 Jun.

“Mengikut rancangan, Mohd Azuan tidak pulang ke Johor dan terus menunggu rombongan kami yang akan tiba di Kedah dengan menaiki bas untuk majlis perkahwinan itu," katanya sambil menambah majlis sambut menantu di Johor dirancang diadakan selepas Aidilfitri.

Abdullah berkata anaknya itu amat meminati kerjaya polis sejak kecil dan sentiasa bersemangat ketika bertugas.

Beliau berkata Mohd Azuan, sering menceritakan pengalaman pahit dan manis kerjayanya sebaik tamat menjalani latihan sehinggalah ditugaskan di Balai Polis Batu Kurau.

"Dia ada cakap dengan saya kerjanya sepanjang lima tahun ini kadangkala seronok dan kadangkala sedih tetapi sebagai bapa, saya sentiasa menasihatinya supaya bekerja bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam tugasan yang dilakukan," katanya.

Abdullah, yang masih terkejut dengan kejadian itu, berkata kali terakhir beliau berbual dengan anak ketiganya itu ialah menerusi telefon pada 16 Mei lepas.

Katanya, selain berkomunikasi menerusi telefon, beliau sentiasa mengikuti perkembangan harian Mohd Azuan menerusi laman sosial Facebook.

Abdullah berkata beliau redha dengan kejadian yang menimpa anaknya itu dan berharap pihak polis segera menahan suspek yang terlibat serta membawa mereka ke muka pengadilan.

Dalam kejadian itu, Mohd Azuan, maut di tempat kejadian, manakala rakan setugasnya yang belum dikenal pasti identitinya cedera parah.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari semalam, kedua-dua mereka dilanggar oleh suspek yang baru sahaja terlibat dalam satu kes samun dekat Alor Pongsu.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata kedua-dua mereka yang bertindak atas maklumat daripada orang awam tentang satu kejadian samun sebuah van rokok telah mengejar suspek dan van rokok.

"Mangsa mengejar sebuah kereta jenis Toyota Wish yang dinaiki suspek bagaimanapun dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda Civic dipercayai dinaiki oleh rakan suspek menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit," katanya.

Acryl Sani berkata polis masih belum mengenal pasti identiti suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut.
"Suspek agresif dan berbahaya dan mereka akan menggunakan apa juga langkah untuk melepaskan diri daripada ditahan oleh pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata gerakan memburu suspek sedang giat dijalankan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.