IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pilihan menerima rasuah daripada seorang lelaki, berhubung kesalahan khalwat, di sebuah taman awam, dua tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadi Abu Bakar, 29 tahun, membuat pengakuan itu selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperoleh untuk diri sendiri suatu benda berharga tanpa suatu balasan, iaitu wang tunai RM200 daripada seorang lelaki atas kesalahan khalwat yang dilakukan pada 30 Dis 2019.

Abdul Hadi bertugas di Bahagian MPV (8) Bahagian Jenayah dan Keselamatan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di belakang sebuah restoran nasi kandar di Taman Fair Park, di sini, antara jam 12.30 dan 12.45 tengah hari, 5 Jan 2020.

Dia didakwa di bawah Seksyen  165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau didenda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara sebulan jika gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Sheikh Mohd Nasir S Mohd Sharif  

Pada 26 Julai 2021, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen yang sama atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM250 daripada seorang lelaki, berhubung kesalahan khalwat, di sebuah taman awam.