MALAYSIA
Anggota polis mengaku tidak bersalah sebabkan kematian pelajar

Azhar didakwa atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki dalam kemalangan di lampu isyarat Pekan Guar Chempedak, minggu lalu. -Foto Astro AWANI
GURUN: Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki dalam kemalangan di lampu isyarat Pekan Guar Chempedak, minggu lalu.
Ringkasan AI
- Seorang koperal polis, Azhar Mat Saini, didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang pelajar lelaki dalam kemalangan di Pekan Guar Chempedak pada 28 Julai lalu.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan lesen memandu digantung sementara kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Mangsa, Muhammad Nur Iman Danial, pelajar Tingkatan Empat SMK Guar Chempedak, meninggal dunia selepas tiga hari dirawat di ICU Hospital Sultanah Bahiyah akibat kecederaan parah.
Dia didakwa memandu di atas jalan raya dengan cara yang setelah mengambil perhatian tentang segala hal termasuk jenis, keadaan dan saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang dijangkakan ada atau mungkin ada di jalan itu adalah berbahaya kepada orang awam.
Tindakan berkenaan didakwa menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhammad Nur Iman Danial Mohd Roshidi, 16.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya menawarkan jaminan sebanyak RM13,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela S. Parameswaran yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya mempunyai empat orang anak berusia antara 11 hingga 18 tahun yang masih belajar.
Selain itu, anak bongsu tertuduh juga merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal, manakala isterinya pula bekerja sebagai guru.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Majistret menetapkan sebutan semula dan penyerahan dokumen pada 29 September depan.
Tertuduh membayar wang jaminan tersebut.
Dalam kejadian 28 Julai lalu, mangsa, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak, mengalami kecederaan parah selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta yang dipandu tertuduh.
Mangsa dirawat selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, namun disahkan meninggal dunia pada malam Khamis lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami