Seorang daripada enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna tahun lepas tidak bersenjata atau memakai baju kalis peluru, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Cawangan Khas Bukit Aman ASP Mohamad Hasnal Jamil berkata beliau dan pegawai atasannya, Allahyarham Superintenden Ibrahim Lebar, tidak bersenjata dan memakai baju kalis peluru ketika melakukan serbuan di kampung itu bagi menahan seorang individu yang dikenali sebagai 'Imam Tua'.

Beliau berkata ini kerana mereka tidak menerima arahan untuk berbuat demikian meskipun mengetahui terdapat penceroboh bersenjata di kampung itu.

Mohamad Hasnal berkata demikian ketika disoal peguam Datuk N.Sivananthan pada perbicaraan kes 27 warga Filipina dan 3 penduduk tempatan yang didakwa berhubung insiden pencerobohan di Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Sivananthan: Adakah anda tidak berasa bimbang atau pelik ketika anda diarah melakukan serbuan ke atas penceroboh yang mungkin bersenjata dan diminta tidak membawa senjata api?

Mohamad Hasnal: Saya tidak rasa bimbang kerana serbuan tersebut disertai hampir keseluruhan anggota yang mempunyai senjata api.

Sivananthan: Adakah terdapat sebab lain mengapa anda tidak membawa senjata apabila anda kata terdapat penceroboh bersenjata di kampung itu?

Mohamad Hasnal: Alasan ialah pada mulanya, kami dihantar ke Sabah untuk tugasan mengumpul maklumat risikan dan bukan untuk menyertai operasi tangkapan.

Sebaliknya, kami ditugaskan untuk menyalurkan maklumat kepada pasukan menangkap untuk menjalankan tangkapan.

Beliau juga berkata anggota polis lain yang terbunuh iaitu ASP Michael Padel, Sarjan Baharin Hamid, Sarjan Abdul Aziz Sakiran, Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran dan Lans Koperal Salam Togiran bersenjata ketika melakukan serbuan itu.

Kesemua tertuduh berdepan pelbagai pertuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota kumpulan pengganas dan melindungi individu yang diketahui anggota kumpulan pengganas.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.