Anggota RELA direman tujuh hari bantu siasatan kes bunuh

Astro Awani
Julai 24, 2021 04:48 MYT
Suspek tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang pada pukul 10.35 pagi, diiringi anggota polis. - Astro AWANI
MARANG: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh bekas Ketua Bahagian MCA Marang Fong Swee Fuan di Taman Raya, Wakaf Tapai, semalam.
Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.
Suspek, 56 tahun, akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap berwarna oren tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Marang pada pukul 10.35 pagi.
BACA: Bekas Ketua Bahagian MCA Marang maut ditembak, anak saudara parah
Dalam insiden semalam, mangsa berusia 65 tahun yang juga Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) maut di tempat kejadian, manakala anak saudaranya Teo Hock Beng, 45 tahun, cedera parah di bahagian dada.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu melibatkan tembakan menggunakan senapang patah, di sebuah pondok KRT di Taman Raya, Wakaf Tapai.
#Mahkamah Majistret #tembakan #bunuh #MCA #reman #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #senapang patah #tembak #KRT #RELA #Wakaf Tapai #Marang