KOTA KINABALU:Sandakan mencatatkan kes tertinggi dengan 316 daripada 660 kes positif baharu COVID-19 yang dilaporkan hari ini di Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada jumlah itu 218 kes melibatkan Kluster Penjara Sandakan.

Manakala selebihnya melibatkan lima kluster lain di daerah berkenaan seperti Kluster Jambatan B 18 kes, Kluster Bomba (9 kes), Kluster Karamunting (3 kes), Kluster Mesra (2 kes) kes dan Kluster Bongaya satu kes.

"Hari ini daerah Sandakan mencatatkan angka kes positif COVID-19 tertinggi iaitu 316 kes. Ia diikuti Lahad Datu dengan 105 kes; Kota Kinabalu (95 kes); Tawau (45 kes); Penampang (37 kes); dan Tuaran (20 kes)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengenai pengisytiharan darurat di kawasan Parlimen Batu Sapi, Masidi berkata langkah itu bertujuan membatalkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, yang dijadual berlangsung pada 5 Disember ini, demi melindungi nyawa rakyat di kawasan tersebut susulan penularan COVID-19.

Katanya, kehidupan rakyat Batu Sapi tidak akan terjejas susulan pengisytiharan darurat itu, selain pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial penduduk masih boleh diteruskan tertakluk kepada amalan kebiasaan baharu serta peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa.

Masidi berkata terdapat lima faktor utama PRK Batu Sapi ditangguhkan:

1. Ancaman terhadap kesihatan awam.

2. Kekangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapatkan petugas.

3. Pergerakan rentas daerah.

4. Kebimbangan risiko jangkitan.

5. Kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara berkenaan.