KUALA LUMPUR: Bandar Media atau Media City yang dahulunya dikenali sebagai Kompleks Penyiaran Angkasapuri kini dijenamakan semula sebagai Angkasapuri Kota Media.

Penjenamaan semula itu disempurnakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut memasyhurkan nama-nama jalan di kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Menurut Perdana Menteri, pembangunan Media City merupakan antara langkah strategik kerajaan untuk merangsang perkembangan dan pembangunan industri penyiaran di negara ini.

"Simbol ini meletakkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang baharu pada kedudukan lebih mantap melalui perubahan imej fizikal yang drastik supaya sentiasa kelihatan segar, moden dan dinamik.

"Kesemua ini dapat memberi pertimbangan kepada mewujudkan sebuah Dasar Penyiaran Negara yang baharu di mana ia boleh berasaskan dua perkara penting iaitu Keluarga Malaysia dan inklusiviti.

"Malah, ia boleh digarap menjadi sebuah model penerbitan kandungan kebangsaan seperti dipelopori oleh Hollywood di Amerika Syarikat, British Broadcasting Corporation (BBC) di Eropah, dan industri kandungan di Jepun dan Korea yang berpaksi kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan yang universal," katanya semasa ucapan perasmian Angkasapuri Kota Media, di sini, pada Rabu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap langkah-langkah susulan dapat dibuat supaya standard penyiaran Malaysia tidak ketinggalan dan setanding dengan standard amalan di rantau Asean dan antarabangsa.

Jelas beliau, peningkatan persaingan dengan bertambahnya penyiar dan pemain industri akan menggalakkan kerjasama yang dapat membangunkan kreativiti dan mewujudkan persaingan sihat dalam penerbitan kandungan.

"Kehadiran Media City sebagai simbol penyiaran negara bukan sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal sahaja.

"Teknologi yang dibawa bersama pembangunan itu wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas di samping penyampaian maklumat dan hiburan kepada rakyat,” kata beliau.

Ismail Sabri dalam masa sama memberi jaminan, kerajaan akan sentiasa menyokong inisiatif yang bersifat mesra rakyat dan mesra pemegang taruh dalam usaha memenuhi kehendak rakyat dan
menyempurnakan amanah rakyat, di samping memberi pulangan positif kepada negara.

"Rakyat berhak menerima maklumat yang tepat dan sahih, sebagaimana yang dijanjikan oleh RTM, selain hiburan yang berkualiti, dan tanggungjawab ini wajib disampaikan
secara berterusan.

"Saya berharap Media City, pada masa hadapan, akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks ini, mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester, United Kingdom; Sydney, Australia dan Singapura.

"Kejayaan pembangunan Media City ini adalah contoh kejayaan kerjasama sektor awam dan swasta yang akan diteruskan untuk projek-projek pembangunan lain dalam pelbagai bidang di negara ini bagi memastikan Malaysia membangun dengan jayanya serta memberi manfaat kepada semua pihak," kata Perdana Menteri lagi.