Angkat Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN - Ismail Sabri

Ismail Sabri (duduk, tengah) bergambar bersama peserta Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar usaha memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung hujung bulan ini.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Ismail Sabri cadang perjuangan Bahasa Melayu dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, agar ia diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN melalui pendekatan serantau yang menyeluruh.
- Beliau mencadangkan penubuhan kumpulan bertindak ASEAN, melibatkan pakar bahasa dan diplomat untuk merangka dasar bahasa serta pelan hala tuju jangka panjang bagi memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu.
- Cadangan lain termasuk kerjasama Malaysia-Indonesia-Brunei dan pelancaran -Bulan Bahasa Melayu ASEAN-, bagi menyelaraskan istilah teknikal dan mempromosi bahasa melalui aktiviti pendidikan dan kebudayaan tahunan.
Sebaliknya, semangat penyatuan dalam menggunakan Bahasa Melayu dengan konsep yang lebih luas perlu dijadikan asas bagi kerjasama serantau.
“Perjuangan Malaysia dalam memartabatkan bahasa Melayu di rantau ini konsisten sejak dahulu sehingga ke hari ini.
"Meskipun terdapat tentangan, saya berpendapat ia tidak sepatutnya menjadi isu atau dipolitikkan kerana pada asasnya ia adalah satu bahasa iaitu bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu (SAABM) Kali Ke-4 di ibu negara, pada Sabtu.
Beliau yang juga Penaung PAABM menekankan bahawa Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini perlu memainkan peranan utama dalam memastikan Bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa kedua ASEAN.
Menurutnya, langkah pertama ke arah merealisasikan hasrat tersebut adalah dengan menubuhkan kumpulan bertindak di peringkat tertinggi ASEAN yang terdiri daripada pakar bahasa, diplomat dan ahli akademik dari semua negara anggota. Kumpulan ini perlu meneliti dasar bahasa ASEAN secara menyeluruh dan mencadangkan pelan hala tuju jangka panjang yang komprehensif.
Beliau turut menyeru agar kerjasama antara Malaysia, Indonesia dan Brunei sebagai tiga negara utama penutur Bahasa Melayu diperkukuhkan, menerusi penyelarasan dan pembangunan Bahasa, termasuk dalam aspek penyeragaman istilah teknikal dan pembinaan sumber digital bersama.
Selain itu, beliau mencadangkan agar satu program tahunan dinamakan “Bulan Bahasa Melayu ASEAN” dilancarkan pada bulan Ogos setiap tahun, bagi memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan negara anggota melalui pelbagai aktiviti pendidikan dan kebudayaan.
“Saya berharap tiga cadangan ini dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung tidak lama lagi,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Ismail Sabri menyambut baik peringatan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2026, agar institusi pendidikan mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di semua sekolah dan aliran.
“Beliau memang dari dulu lagi antara pejuang kuat Bahasa Melayu, tetapi saya agak terkejut juga apabila beliau menyebut mengenai bahasa Melayu dalam pembentangan semalam (Jumaat).
“Terima kasih kepada perdana menteri, ini langkah yang wajar dalam usaha mengangkat kedudukan bahasa Melayu,” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami