PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan bagi merencana pengemblengan komunikasi strategik ketika seluruh dunia termasuk Malaysia berdepan dengan cabaran inflasi serta kenaikan harga barang.

Antara pegawai kanan kerajaan yang hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua unit komunikasi dan pegawainya serta setiausaha akhbar kepada menteri.

Annuar yang merupakan Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi menekankan tentang keperluan pelaksanaan dan perancangan komunikasi strategik setiap kementerian dilaksanakan dengan lebih bersepadu.

"Kita perlu kurangkan komunikasi dalam bentuk silo dan bergerak secara bersepadu," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Komunikasi Strategik YB MenKOMM bersama Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan di sini hari ini.

Pada 30 Jun lepas, Annuar berkata kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan memastikan kadar inflasi di Malaysia berada pada tahap rendah serta boleh diuruskan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.

Menurutnya, walaupun peningkatan inflasi berlaku di seluruh dunia, namun Malaysia mempunyai kadar inflasi antara paling rendah iaitu kira-kira 2.8 peratus berbanding negara ASEAN lain mahupun negara maju.

Pada sesi libat urus itu, Annuar berkata pendekatan atau keputusan strategik kerajaan bagi membantu Keluarga Malaysia ketika inflasi dan kenaikan harga barang perlu dihebahkan secara menyeluruh agar rakyat tahu kerajaan sentiasa prihatin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan komitmen tinggi untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa terjamin, contohnya komitmen kerajaan yang menyediakan RM4 bilion untuk subsidi minyak masak kampit satu kilogram untuk tahun ini.

Pada 2021, jumlah subsidi minyak masak yang ditanggung kerajaan adalah RM2.2 bilion manakala pada 2020 sebanyak RM500 juta.

Semalam, Ismail Sabri ketika di Turkiye berkata kerajaan akan memastikan kenaikan harga barangan keperluan asas di pasaran dunia akibat gangguan rantaian bekalan yang disebabkan konflik geopolitik dan perubahan iklim tidak membebankan rakyat Malaysia.

Ismail Sabri berkata kerajaan terus mengekalkan subsidi untuk barangan seperti ayam, minyak masak, petrol dan diesel, dengan kadar subsidi yang ditanggung kerajaan kini mencecah lebih RM77.7 bilion.

Pendekatan lain dilaksanakan kerajaan dalam menjaga kepentingan rakyat adalah kerajaan mengekalkan tarif elektrik dan air dengan menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan penjanaan lain, katanya.

-- BERNAMA