IPOH: Pengerusi UDA Holdings Berhad (UDA) Tan Sri Mohd Annuar Zaini dilantik sekali lagi sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi penggal 2024-2025.

Mohd Annuar yang juga bekas Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima pengurniaan watikah pelantikan itu daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dalam satu majlis di sini hari ini.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Perundangan dan Diplomasi dari Tufts University, Amerika Syarikat, sebelum ini memegang jawatan itu sejak 1 Jan 2021 pagi penggal 2021-2023.

Pada majlis sama, Sultan Nazrin berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 27 lagi anggota MAIPk termasuk Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri Perak.

Tujuh anggota pada penggal 2021-2023 dilantik semula kali ini, sementara 13 anggota baharu dilantik bagi penggal 2024-2025.

Antara anggota baharu yang dilantik ialah Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mohamad Fauzi Mahson, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh, Pengarah Jabatan Pertanian negeri Norsiyenti Othman, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri Nor Azah Ahmad Dahalan, Pengurus Besar Yayasan Perak Dr Nasreen Khanum Nawab Zadah Khan dan Presiden Majlis Belia negeri Muhammad Puhaz Saleh.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan serta wakaf kepada MAIPk daripada 10 syarikat korporat dan individu berjumlah RM7,697,167.71 dan wakaf tunai berjumlah RM100,000 bagi 2023.

Antara agensi pembayar zakat pada majlis itu ialah Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM573,109.20; Boustead Plantations Berhad (RM297,626); Koperasi Anggota Kerajaan Ipoh Berhad (RM202,645.05); Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (RM2,105,854.45); Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM500,000); Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (RM100,000), PLUS Malaysia Berhad (RM500,000) dan UDA Holdings Sdn Bhd (RM254,283).

Agensi lain ialah Zaman Motors Sdn Bhd sebanyak RM124,710 dan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang membayar zakat sebanyak RM2,958,880.

Sultan Nazrin kemudian berkenan menyampaikan zakat berkenaan kepada Mohd Annuar.

-- BERNAMA