MALAYSIA
Antara dua negara, penduduk Pulau Sebatik pilu tunggu pembangunan

Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan jeti yang menjadi nadi penghubung utama antara kampung dan bandar dalam keadaan usang. - Astro AWANI/Seth Akmal.
TAWAU: Penduduk Pulau Sebatik mengulangi rayuan agar kerajaan memberi perhatian terhadap pembangunan di pulau yang terbahagi kepada dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia.
Secara lazimnya, penduduk menggunakan bot dalam urusan harian mereka untuk menuju ke bandar Tawau, yang berjarak hanya sekitar 20 minit perjalanan.
Tinjauan Astro AWANI mendapati keadaan jeti yang menjadi nadi penghubung utama antara kampung dan bandar dalam keadaan usang.
Penduduk berharap agar jeti dapat dibina lebih jauh dari kawasan darat bagi memudahkan bot untuk singgah di pulau, kerana setiap kali air surut, bot tidak dapat bergerak ke seberang kerana air cetek.
Ketua Kampung Pisak-Pisak, Harom Taboyo mengakui bahawa infrastruktur asas itu disediakan oleh kerajaan namun keadaanya memerlukan pembaikan segera.
“Bantuan yang telah diberi kerajaan sudah hancur, tidak dibaik pulih, sudah memohon (bantuan) belum sampai, sekarang ini jeti nelayan sebahagiannya sudah terbengkalai.
“Kami minta kerajaan prihatin sikit, walaupun kami di pedalaman, sekurang-kurangnya tinjaulah keadaan kami,” katanya.
Selain daripada aktiviti perikanan, industri sawit juga merupakan hasil pencarian utama bagi para penduduk, namun isu jeti membelenggu penduduk terutamanya apabila mereka hendak membawa keluar hasil sawit ke bandar.
“Kalau hasil sawit kami ini lambat keluar, buruk, orang tidak beli... harga jatuh, bagaimana?” soal Sidik Kadir selaku Ketua Kampung Bergosong.
Luahannya turut terarah kepada hal rawatan kesihatan. Ia merupakan isu yang sering dibangkitkan saban tahun, kerana menurutnya, hanya sebuah klinik kesihatan dibina untuk seluruh penduduk di Pulau Sebatik.
Sidik malah berkongsi kisah tentang beberapa insiden kecemasan yang menjadi beban kepada penduduk di pulau rentetan daripada isu jeti.
“Tidak sampai ke hospital, ada yang sudah meninggal. Sewaktu saya bawa bot, (ada) orang bersalin di dalam (bot) saya memandangkan keadaan air cetek,” ujarnya.
Mengulas kejadian yang sama, AJK Kampung Bergosong, Jams Tingku pula menambah: "Kita perlu menunggu jam 2 atau 3 pagi, kita harus menunggu air pasang. Jika ada pesakit, tidak ada cara lain.. terpaksa tunggu air pasang."
Selain itu, kemudahan jalan juga didapati dalam keadaan tidak memuaskan apabila kebanyakan laluan penghubung antara kampung merupakan jalan ladang kelapa sawit yang tidak berturap, manakala jalan raya pula perlu ditambah baik kerana berlubang.
Berbeza dengan keadaan di Indonesia, selain daripada jalan raya yang elok, pelbagai fasiliti disediakan seperti bank, farmasi, kedai serbaneka, stesyen minyak, masjid dan kompleks jeti yang moden.
Ketua Kampung Sungai Pukul, Hussin Pansal turut mengakui bahawa keadaan di negara jiran jauh lebih maju berbanding di belah Malaysia.
“Dulu, mereka yang datang tempat kita, tapi pada hari ini, mereka lebih maju daripada kita,” katanya.
Pulau Sebatik kini mendapat perhatian kerana kedudukannya berhampiran dengan kawasan pertikaian maritim antara Malaysia-Indonesia, khususnya di Blok ND6 dan ND7 yang kaya dengan sumber ekonomi.
Namun, di sebalik rundingan diplomasi terhadap wilayah berpotensi besar itu, penduduk berharap agar kemajuan di kawasan mereka dapat diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami