Ketulenan demokrasi yang semestinya diterima oleh seseorang yang demokratik sifatnya ialah walaupun lawan menang dengan satu undi tetapi yang kalah adalah kalah. Hakikat ini tentulah diterima oleh Mukhriz Tun Mahathir yang dikalahkan oleh Hishammuddin dengan hanya 9 undi. Hishammuddin mendapat 100 undi dan Mukhriz 91 undi.

Mukhriz boleh berpuas hati dengan kekalahan ini kerana beliau menang dengan undi popular mengikut sistem electoral college iaitu 55,299 undi manakala Hishammuddin mendapat 54,829 undi. Berasaskan kepada Facebook dan blog ternyata Mukhriz juga paling popular di luar parti berbanding Hishammuddin.

Semua orang tentu bersetuju kalau mengatakan bahawa biarpun Mukhriz kalah tetapi kalah dengan bermaruah dan Hishamuddin biarpun menang tetapi menang yang parah.

Mukhriz telah mengambil langkah yang benar apabila menyertai persaingan Naib Presiden UMNO kerana dengan itu beliau dan juga pendukung parti sekarang mengetahui pengaruhnya di peringkat nasional berbanding dengan Hishammuddin yang merupakan veteran UMNO.

Soal sokongan Presiden UMNO kepada status quo tidak seharusnya timbul kerana hampir semua Presiden UMNO termasuk Dr. Mahathir dan Allahyarham Tun Abdul Razak telah dengan cara masing masing menunjukan sokongan baling batu sembunyi tangan kepada orang yang mereka mahu dimenangkan dalam pemilihan parti. Umpamanya dengan menyebut namanya dalam ucapan presiden atau mengatakan don't overstay.

Yang utama sekarang ini bagi setiap penyokong Mukhriz di dalam dan di luar parti ialah untuk memberikan kemenangan yang lebih besar dan lebih bererti kepada Mukhriz dengan berkumpul di Sungai Limau untuk menggerakkan langkah gagah bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil di Sungai Limau, Kedah pada 4 November 2013.

___________________________________

* Tan Sri Zainuddin Maidin ialah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (1983-1992) dan Menteri Penerangan (2006-2008). Beliau kini Karyawan Tamu di Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir di Universiti Utara Malaysia.
* Tulisan ini dipetik dari http://zamkata.blogspot.com
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.