KUALA LUMPUR: Kira-kira 125,000 penumpang terjejas susulan penggantungan operasi syarikat penerbangan, MYAirline Sdn Bhd (MYAirline) pada Khamis.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, angka itu diperoleh selepas mendapati syarikat itu telah menjual tiket tempahan awal sehingga Mac akan datang.

Menurutnya, dari segi nilai jualan pula, Anthony memaklumkan jumlahnya melebihi RM20 juta.

“MYAirline beri jaminan bahawa mereka akan menunaikan kewajipan mereka dan akan membuat bayaran balik kepada pelanggan.

“Ini merupakan keutamaan kita sekarang. Saya telah minta MAVCOM (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas dalam perkara ini.

“MAVCOM akan berhubung dengan Bank Negara Malaysia untuk pastikan semua penumpang dapat balik wang mereka dan bagaimana dari segi mekanismenya,” katanya.

MYAirline gantung operasi, 125,000 penumpang terjejas

Tambahnya, MAVCOM akan terus memantau isu tersebut bagi memastikan syarikat itu memulangkan semula wang pelanggan dengan kadar segera.

Dalam pada itu, Anthony menegaskan pihaknya turut terkejut dengan penggantungan operasi MYAirline kerana mereka hanya tahu mengenainya pada lewat malam Rabu.

“Pagi ini, baru kita tahu syarikat itu menggantung operasi. MAVCOM pun terkejut, mereka tidak diberitahu secara rasmi.

“Pengerusi MAVCOM pun tidak diberi sebarang maklumat sehingga kita tanya mereka (MYAirline) dan mereka kata bahawa penggantungan bermula pagi ini,” ujarnya.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan syarikat penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini, 12 Oktober 2023.

Menerusi satu kenyataan, syarikat itu berkata, penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurutnya, tekanan kewangan menjadi punca keputusan itu terpaksa dibuat selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu.