Skip to main content

Malaysia

Anugerah Ikon Huffaz: Al-Quran jadi pemangkin kecemerlangan dalam bidang profesional

Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Ikon Huffaz Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada Putri Qistina pada Himpunan 26K Huffaz 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, semalam. --fotoBERNAMA
Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah Ikon Huffaz Majlis Amanah Rakyat (MARA) kepada Putri Qistina pada Himpunan 26K Huffaz 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat di Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk, semalam. --fotoBERNAMA

Ringkasan AI

  • Penerima Anugerah Ikon Huffaz MARA, Putri Qistina Rosmadi, membuktikan kecemerlangan hafazan al-Quran mampu seiring dengan kejayaan akademik dan profesional bertaraf dunia.
  • Prof Madya Dr Muhammad Hafiz Saleh menerima Anugerah Ikon Huffaz PERMATA atas sumbangan memperkasakan pendidikan tahfiz dan pembangunan hala tuju pelajar tahfiz negara.
  • Majlis Himpunan 26K Huffaz 2026 turut menyampaikan insentif RM50,000 kepada 10 institusi tahfiz cemerlang bagi memacu kecemerlangan pengurusan institusi tahfiz negara.
Advertisement

BAGAN DATUK: Keberkatan berdamping dengan al-Quran terbukti menjadi pemangkin kejayaan luar biasa apabila golongan penghafaz kalam suci itu kini bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, malah mampu menempa nama dalam bidang profesional serta akademik pada peringkat dunia.

Semangat itu ditonjolkan penerima Anugerah Ikon Huffaz Majlis Amanah Rakyat (MARA), Putri Qistina Rosmadi, 19, yang membuktikan hafazan al-Quran mampu bergerak seiring dengan kecemerlangan pengajian perakaunan bertaraf antarabangsa.

Berasal daripada Muadzam Shah, Pahang, penuntut program Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di Kolej Profesional MARA (KPM) Ayer Molek, Melaka itu sebelum ini merangkul ACCA Prize Winner bagi kertas MA1 pada Disember tahun lepas, sekali gus menduduki tempat pertama di Malaysia dan terbaik di dunia.

Advertisement

"Bagi saya, apabila saya dah dapat Ikon Huffaz ini, ia adalah satu dorongan untuk saya terus usaha lagi dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain. Seseorang huffaz juga boleh berjaya dalam bidang profesional," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian anugerah itu di Masjid Tuminah Hamidi di sini, semalam.

Alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh itu berkata prinsipnya untuk sentiasa mengutamakan al-Quran dalam kehidupan seharian membolehkannya lebih mudah memahami konsep serta menghafal teori pembelajaran.

Advertisement

Putri Qistina berkata walaupun pernah berdepan cabaran menghafal ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tetap cekal mengimbangi tuntutan akademik serta hafazan melalui penyertaan dalam kelab Gen Huffaz di KPM Ayer Molek sebelum mengejar impian menjadi juruaudit di firma ternama PricewaterhouseCoopers (PwC).

"Maksudnya walaupun kita nak kejar akademik, sekurang-kurangnya dalam sehari itu bacalah surah al-Waqiah pada waktu pagi, selepas itu sebelum tidur baca surah al-Mulk supaya dalam kehidupan kita dimulakan dengan al-Quran dan tutup juga dengan al-Quran," nasihatnya.

Inspirasi sama turut dikongsi penerima Anugerah Ikon Huffaz PERMATA, Prof Madya Dr Muhammad Hafiz Saleh, 47, yang menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai pembakar semangat untuk beliau terus memperkasakan hala tuju pendidikan tahfiz negara.

Pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang juga Naib Presiden II Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (PERMATA Al-Quran) itu mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang tahfiz serta telah menghasilkan 18 projek penyelidikan dan 30 artikel berkaitan jurusan itu. 

Anak jati Bukit Palah, Melaka dan alumni Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorakkan laluan masa depan anak-anak tahfiz, sama ada ke bidang akademik menerusi program laluan pantas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pengajian kitab atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Antara perancangan saya adalah untuk memastikan pelajar-pelajar yang sedang belajar di institusi tahfiz ini, mereka mendapat hala tuju yang jelas untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi dan dengan harapan mereka akan jadi huffaz yang profesional, insya-Allah," katanya.

Muhammad Hafiz yang turut terlibat dalam membangunkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) menasihati pelajar tahfiz agar memberikan tumpuan penuh pada mengkhatamkan hafazan serta memelihara al-Quran sebelum meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, penerima lain pada majlis sama ialah Jurutera Automasi Mohamad Daniel Haziq Haswadi bagi kategori Ikon Huffaz MARA, Juruteknik Telekomunikasi Nur Syuhada Rosli (Ikon Huffaz TVET) serta Yayasan Pahang yang menerima Anugerah Khas Ikon Ekosistem Pendidikan Tahfiz Negeri Terbaik Peringkat Kebangsaan.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis kemuncak Himpunan 26K Huffaz 2026 dan Bagan Datuk Bermunajat yang turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM Muhyidin Aziz@Saari.

Himpunan bertemakan “Huffaz Memacu Peradaban” itu menghimpunkan para huffaz, ulama, asatizah dan masyarakat setempat menerusi pengisian kerohanian seperti zikir, selawat dan munajat demi kesejahteraan serta keberkatan negara.

Program yang bermula 26 Nov itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat termasuk Klinik al-Quran Interaktif, Tadabbur al-Quran, Tahsin al-Qiraat, pameran artifak Rasulullah SAW dan sahabat serta Eksplorasi TVET-Tahfiz.

Pada majlis sama, 10 institusi tahfiz cemerlang menerusi penilaian SPTM, masing-masing menerima insentif berjumlah RM50,000 bagi memacu kecemerlangan pengurusan institusi tahfiz negara.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement