Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Isnin, berkenan mendedikasikan Anugerah Ikon Kraf 2019 oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) yang diterima baginda, sebagai hadiah untuk negeri Pahang.

Seri Paduka bertitah, baginda tidak boleh menerima ucapan tahniah atas penganugerahan itu hanya untuk dirinya, memandangkan terdapat ramai lagi individu lain di negeri ini, yang turut berganding tenaga dalam pembangunan kraf yang dilakukan baginda.

Anugerah itu, menurut Tunku Azizah adalah pengiktirafan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan untuk baginda membangunkan Tenun Pahang Diraja.

"Jika orang datang mengucapkan tahniah, saya katakan itu bukan untuk saya seorang... itu adalah untuk Pahang yang selama ini telah mempercayai dan menggalakkan saya untuk terus memulihara industri kraf.

"Saya mempunyai pasukan yang bagus dan itulah sebabnya saya katakan anugerah ini adalah untuk Pahang," titah Seri Paduka semasa berkenan mencemar duli, merasmikan Pameran Warisan Pahang di Muzium Seni Pahang di sini, pada Isnin.

Penganugerah itu dimuatkan dalam laman sesawang Kampung Kraf India https:www.crafvillage.org.in/home.html dan penyampaiannya akan diadakan pada Majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) ketiga di GMR Aerocity, New Delhi pada 7 Dis, semasa Minggu Kraf India dari 4 hingga 8 Dis ini.

Mengulas mengenai pameran itu yang mengumpulkan 31 pelukis dan enam jurufoto kelahiran Pahang, Seri Paduka juga secara spontan bertitah bahawa keluarga baginda juga memiliki 'seorang pelukis yang amat berbakat'.

Tunku Azizah bertitah, anakanda bongsu baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah mewarisi bakat seni daripada sebelah baginda dan akan melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di sebuah universiti di London tahun hadapan.

Seri Paduka juga menzahirkan hasrat mahu melihat supaya industri tenun di Pahang, mencuba pendekatan baharu, seperti menghasilkan benang daripada daun nanas dan batang pisang serta sejenis tumbuhan dikenali sebagai 'reed' yang banyak terdapat di Tasik Chini, Pekan dekat sini.

"Tenun Pahang kena cuba menghasilkan benang yang lain, kerana kita ada nanas di Rompin... daun nanas dieksport ke Filipina untuk membuat kain dan mungkin ini industri baru yang dapat dibangunkan," titah Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong seterusnya menzahirkan jemputan kepada semua rakyat Malaysia yang mencintai tekstil tradisional, untuk menganggotai Kelab Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) yang ditubuhkan baginda, yang selain daripada tekstil, turut akan mengumpulkan kraf dan makanan tradisonal.

Usaha memulihara kraf menurut Tunku Azizah, adalah peranan semua supaya keindahan dan identiti yang tersemai menerusi kraf tidak lupuk dan dapat dinikmati generasi akan datang.

-- BERNAMA