GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebuah negara kuasa ekonomi dalam tempoh lima hingga enam tahun lagi.

Beliau berkata pada masa ini, Malaysia sudah semakin baik dan kestabilan politiknya yang kian kukuh telah menarik minat banyak pelabur luar untuk melabur di negara ini.

Katanya sebagai contoh kesediaan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc Elon Musk berbincang dengan beliau untuk menzahirkan komitmen membuka ibu pejabat syarikat itu di Cyberjaya tahun ini.

Anwar berkata ia merupakan satu penghormatan yang amat besar kepada Malaysia susulan dasar ekonomi, termasuk Ekonomi MADANI, yang diamalkan Malaysia selain kepimpinan telus Kerajaan Perpaduan.

"Impian dan cita-cita saya ialah menjadikan Malaysia kuasa ekonomi dan sebuah negara yang hebat untuk semua rakyatnya.

"Saya mahu negara ini kembali baik, ekonomi baik, negara baik dan rakyat bersatu," katanya ketika berucap pada Ceramah MEGA MADANI di Pekan Sungai Ara di sini malam Sabtu.

Beliau juga berkata perbuatan mencuri duit negara perlu dihentikan bagi menjadikan Malaysia sebagai contoh yang baik di dunia.

Anwar turut mengingatkan semua pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini dan memilih parti politik yang dapat mewakili semua lapisan rakyat Malaysia.

"Anda mahu PAS, Bersatu perintah atau anda mahu Anwar, Anthony Loke serta kawan-kawan di UMNO dan GPS perintah.

"Anda mahu kerajaan Melayu yang terdiri daripada pelbagai kaum atau mahu kerajaan Melayu yang sakau... ia pilihan anda, tolong bantu selamatkan Pulau Pinang, selamatkan Malaysia," katanya.

-- BERNAMA