Anwar beri jaminan keselamatan penuh pemimpin dunia hadir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Anwar bersama Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan, Putrajaya, 22 Okt 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan keselamatan semua pemimpin dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur akan dijamin sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.
Anwar menegaskan walaupun kerajaan menghormati hak rakyat untuk menyuarakan pandangan dan mengadakan protes secara aman, aspek keselamatan para pemimpin negara luar adalah keutamaan tertinggi sepanjang sidang berlangsung.
“Saya tidak kisah sekiranya ada pihak mahu berprotes menentang saya di Kuala Lumpur. Namun, apabila melibatkan keselamatan para pemimpin yang datang ke Malaysia, saya tidak akan membenarkan sebarang tindakan yang boleh mensabotaj perjalanan sidang ini.
“Keselamatan adalah pertimbangan utama kerajaan,” katanya dalam taklimat khas bersama pengarang kanan media malam tadi.Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), menandakan kemuncak kepada kepengerusian ASEAN Malaysia bagi tahun ini yang bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”.
Antara pemimpin dunia yang dijadual hadir ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, manakala Perdana Menteri India Narendra Modi akan menyertai secara maya.
Sebelum ini media melaporkan beberapa pertubuhan masyarakat sivil dan parti politik tempatan merancang mengadakan demonstrasi aman pada 26 Oktober, hanya beberapa ratus meter dari lokasi sidang kemuncak bagi membantah kehadiran Presiden Trump.
Mengulas kebimbangan bahawa rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China mungkin menenggelamkan tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN, Anwar berkata Malaysia menyambut baik sebarang perkembangan positif antara dua kuasa besar dunia itu.
“Jika ada kemajuan atau pencapaian antara China dan Amerika Syarikat, ia bukan sahaja memberi manfaat kepada Malaysia, malah kepada ASEAN secara keseluruhan. Malaysia harus berbangga jika hasil positif dicapai di bumi kita,” jelas beliau.
Terdahulu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dilaporkan berkata beliau dan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, dijangka mengadakan perbincangan di Malaysia sebagai persediaan kepada pertemuan antara presiden kedua-dua negara.
Anwar turut mendedahkan bahawa 99.9% rundingan perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat telah diselesaikan, manakala baki 0.01% akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat ini," katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyifatkan penyertaan rasmi Timor-Leste dalam ASEAN sebagai pencapaian besar di bawah kepengerusian Malaysia.
“Timor-Leste wajar diberikan tempat dalam keluarga ASEAN. Saya gembira penyertaan ini berlaku ketika Malaysia menjadi pengerusi,” ujarnya.
Timor-Leste dijadual menyertai ASEAN secara rasmi pada 26 Oktober ini. - DagangNews.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami