PAKAM 2025: Teknologi pemacu usaha angkat ilmu watan ke peringkat tinggi - Zambry

Persidangan PAKAM 2025 menghimpunkan kira-kira 200 ilmuwan tempatan dan antarabangsa termasuk dari Belanda, Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia. - Gambar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: Usaha memperkenalkan manuskrip Melayu kepada masyarakat menerusi penggunaan teknologi, selari dengan hasrat kerajaan untuk mengangkat ilmu watan ke peringkat lebih tinggi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Ringkasan AI
- Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menekankan usaha memperkenalkan manuskrip Melayu kepada masyarakat melalui teknologi seperti AI, animasi, gamifikasi dan model bahasa besar bagi mengangkat ilmu watan ke tahap lebih tinggi.
- Antara inisiatif terkini ialah pembangunan Sistem SEMESTA di UKM yang menjadikan manuskrip lebih mesra pembaca dan berpotensi diinovasikan sebagai produk komersial.
- Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 menghimpunkan 200 ilmuwan dari dalam dan luar negara, membuktikan karya agung Melayu terus relevan dalam era digital dengan 16 kertas kerja dibentangkan sepanjang persidangan.
“Lebih jauh daripada itu, ilmu yang terkandung dalam manuskrip karya agung berpotensi diinovasikan sebagai produk komersial,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Karya Agung Melayu (PAKAM) 2025 di Putrajaya, hari ini.
Zambry berkata, pendekatan tersebut sangat bertepatan dengan tema persidangan kali ini iaitu “Menghayati Karya Agung Melayu Melalui Penyatuan Elemen Tradisi dan Teknologi dalam Era Digital.”
Mengulas lanjut, katanya antara inisiatif terkini yang diketengahkan beliau ialah pembangunan Sistem SEMESTA di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menggunakan teknologi bagi menjadikan manuskrip lebih mesra pembaca.
“Projek sebegini adalah satu langkah ke hadapan dalam kajian karya agung pada masa hadapan. Pendekatan ini memberi nilai tambah kepada pengkajian manuskrip yang lebih holistik dan berimpak besar kepada negara,” ujarnya.
Persidangan PAKAM 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober itu menghimpunkan kira-kira 200 ilmuwan tempatan dan antarabangsa termasuk dari Belanda, Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia.
Kehadiran tokoh akademik daripada pelbagai latar belakang membuktikan karya agung Melayu terus relevan dan mendapat perhatian di peringkat global.
Sebanyak 16 kertas kerja turut dibentangkan sepanjang persidangan, yang menekankan kepentingan menghubungkan khazanah silam dengan cabaran serta peluang dalam era digital.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami