Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad senada dan sependapat bahawa isu peralihan kuasa antara mereka berdua seperti yang rancak didebatkan perlu dilakukan secara aman dan teratur.

Presiden PKR dan Perdana Menteri itu juga mencapai persetujuan bahawa, peralihan kuasa akan dilakukan dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, beliau dan Dr Mahathir juga tidak bersetuju sekiranya ada usaha lain yang menyimpang dari persetujuan tersebut atau menggunakan nama mereka berdua dalam mana-mana muslihat lain.

"Pendirian Tun Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) dan dijanjikan berulang kali oleh Perdana Menteri," kata Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Anwar sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri selama setengah jam di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar juga memaklumkan, beliau telah memohon persetujuan Dr Mahathir untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu.

Kata Anwar lagi, beliau dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga bersetuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

"Perdana Menteri turut mengambil perhatian mengenai dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek," kata Anwar lagi.