KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa tiada sebarang peruntukan undang-undang yang menghalang siasatan dijalankan walaupun beliau telah didakwa tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan berkata demikian selepas peguam Datuk Amer Hamzah Arshad, yang mewakili bekas setiausaha politik kanan Perdana Menteri itu, membangkitkan isu berkenaan semasa sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Advertisement
"Berhubung isu siasatan yang masih berjalan seperti yang dibangkitkan pihak pembelaan, saya tidak melihat terdapat sebarang undang-undang yang menghalang perkara itu dilakukan walaupun tertuduh telahpun didakwa di mahkamah... tiada isu ketidakadilan timbul," katanya.
Terdahulu, Amer Hamzah memaklumkan kepada mahkamah bahawa pembelaan ingin mendapatkan kepastian sama ada siasatan terhadap anak guamnya telah lengkap atau masih berjalan.
"Selepas tarikh sebutan lepas dan hingga ke hari ini, kami difahamkan masih ada siasatan dijalankan... jadi, kami ingin mendapatkan kepastian daripada mahkamah... sekiranya siasatan masih berjalan, tidak adil untuk pertuduhan diteruskan terhadap anak guam kami.
"Kami juga telah memfailkan satu permohonan pada 4 Feb lepas untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi, dan pendengaran ditetapkan pada 9 April ini," katanya.
Farah Ezlin pula berkata pendakwaan akan membantah permohonan untuk memindahkan kes itu, dan memaklumkan pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
"Bagaimanapun, terdapat beberapa dokumen yang masih memerlukan pemerhatian, dan pihak kami memohon masa untuk menyerahkan baki dokumen tersebut," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pada 4 Dis 2025, Shamsul Iskandar, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun perkara tersebut tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh.
Beliau turut didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan sama serta dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot selain barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada ahli perniagaan itu bagi tujuan serupa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya; di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin di sini dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya antara 7 Dis 2023 hingga 31 Jan 2024 serta di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024.
Pada 5 Dis tahun lepas, Shamsul Iskandar turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Tei di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024.
Mengikut pertuduhan, wang itu dimasukkan ke akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei yang berkepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam telah dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
-- BERNAMA