SHAH ALAM: Pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dilihat menjadi harapan kepada negara.

Menurut bekas Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, ia kerana negara kini sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut seperti isu kestabilan ekonomi, harga barang yang naik kerana inflasi, masalah peluang pekerjaan dan juga perpaduan.

"Anwar Ibrahim merupakan individu yang tepat dalam menggalas tanggungjawab menghadapi masalah tersebut.

“Dahulu Anwar Ibrahim merupakan wakil bagi PH, kini dia merupakan harapan bagi rakyat,” katanya dalam program Sinar Live bertajuk ‘Akhirnya Anwar PM Kerajaan Perpaduan’ yang dihoskan Fahiz Ariff.

Turut menjadi penalis dalam program tersebut ialah Ketua Pengarah Eksekutif Peneraju, Dr Mohd Muzzammil Ismail, Pengurus Kanan (Penyelidikan) Institut Darul Ehsan, Khairul Ariffin Mohd Anuar dan Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib.

Pada Khamis, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pelantikan itu dibuat selaras dengan Perkara 402(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Fuziah dalam program tersebut berharap agar semua gabungan kini dapat mencapai persefahaman dalam menyelesaikan segala kemelut yang dihadapi negara ketika ini.

Jelas beliau, kerajaan Malaysia tidak ditadbir sepenuhnya oleh PH tetapi turut melibatkan kerjasama gabungan lain seperti BN dan Gerakan Parti Sarawak (GPS).

“Wujudkan satu dasar dan polisi, cari titik pertemuan daripada sudut ideologi ataupun dasar demi kebajikan rakyat,” tegasnya. -Sinar Harian