Anwar menghadap Agong: Tenang semua, tiada perhimpunan esok - Saifuddin

Ridauddin Daud
Oktober 12, 2020 06:44 MYT
Pada 8 Oktober lepas, Anwar memaklumkan beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Selasa, 13 Okt, 2020. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua ahli PKR diarah tidak mengadakan sebarang perhimpunan atau berkumpul di mana-mana tempat esok, terutama di jalan utama menuju Istana Negara.
Peringatan dikeluarkan Setiausaha Agung parti Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.
Saifuddin turut memohon semua rakyat Malaysia bertenang ketika majlis perjumpaan itu sedang berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas pertemuan itu.
“PKR mengingatkan semua ahli-ahli Parlimen agar terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat di kala pandemik COVID-19 menular,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Saya diperkenan menghadap YDP Agong 13 Oktober - Anwar
BACA: Pertemuan Anwar dengan Agong: Apa berlaku selepas 13 Oktober ini?
Pada 8 Oktober lepas, Anwar selaku Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memaklumkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan.
Dalam satu kenyataan, beliau mendakwa Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk beliau menghadap pada Selasa, 13 Oktober, 2020.
BACA: Tiada Ahli Parlimen UMNO sokong Anwar - Nazri Aziz
BACA: BN ulangi pendirian sokong Muhyiddin, tolak DAP, Anwar dan Tun Mahathir
Anwar berkata, pada majlis menghadap tersebut beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang pernah disebutkan sebelum ini.
"Saya amat berharap rakyat Malaysia terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan," katanya.
#Anwar Ibrahim #PKR #Yang di-Pertuan Agong #Agong #menghadap #jumpa Agong #tukar kerajaan #majoriti #cukup majoriti #Parlimen #presiden #Pakatan Harapan #Saifuddin Nasution Ismail #PKPP