PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan lebih 1,000 warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan petugas barisan hadapan di majlis iftar Perdana Menteri bersama JPM dan Petugas Barisan Hadapan di Puspanitapuri di sini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad.

Turut serta anggota badan beruniform daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia serta Kementerian Kesihatan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran 40 pelajar tahfiz dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMISTA-MAIWP), Cheras serta 40 anak yatim dari Rumah Pengasih Warga Prihatin, Kajang.

Pada majlis itu, Anwar menyampaikan bantuan infaq Ramadan dan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf, pelajar tahfiz serta anak yatim terbabit yang merupakan sumbangan daripada Pusat Pungutan Zakat dan MAIWP.

Perdana Menteri turut meluangkan masa beramah mesra dengan mereka sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah bersama tetamu jemputan yang diimamkan oleh Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin iaitu Rashidi Salleh.

-- BERNAMA