NATIONAL
Anwar rakam penghargaan kepada kepimpinan Thailand yang majukan projek di sempadan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) mengadakan mesyuarat kerjasama dua hala bersama Perdana Manteri Thailand Paetongtarn Shinawatra (kanan) sempena lawatan kerja ke Thailand, hari ini. - Foto Bernama
BANGKOK: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand atas komitmennya untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan memajukan projek di sempadan.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Thailand atas komitmen mengukuhkan hubungan dua hala dan memajukan projek di sempadan.
- Mesyuarat dua hala antara Anwar dan Paetongtarn Shinawatra membincangkan kerjasama dua hala dan menyaksikan penandatanganan MoU bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok.
- Thailand sebagai rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dengan nilai dagangan AS$25.03 bilion pada 2024.
Anwar tiba di Government House di sini pada 1.50 petang (waktu tempatan) dengan disambut oleh Paetongtarn.
Anwar kemudian mengetuai delegasi Malaysia dalam mesyuarat dua hala, dengan anggota delegasinya termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin; dan Duta Khas ASEAN ke Myanmar Tan Sri Othman Hashim.
Sementara itu di pihak Thailand pula, Paetongtarn disertai oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan Suriya Juangroongruangkit, serta Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa dalam mesyuarat itu.
Usai mesyuarat dua hala itu, kedua-dua Perdana Menteri menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Perjanjian Pembinaan (CA) bagi Projek Jambatan Rantau Panjang-Sungai Golok oleh Nanta dan Suriya.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya, Paetongtarn turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Anwar atas lawatan itu, yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala antara Thailand dan Malaysia.
"Kami akan terus bekerjasama dan membantu antara satu sama lain dalam pelbagai isu yang memberi kesan kepada dunia hari ini," katanya.
Ini lawatan kedua Anwar ke Thailand sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022, selepas lawatan sulungnya pada 2023, yang menyaksikan beliau menemui Perdana Menteri Thailand ketika itu Jeneral Prayut Chan-o-cha.
Menurut Kementerian Luar Malaysia, pada 2024 Thailand adalah rakan perdagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan nilai dagangan AS$25.03 bilion (RM114.56 bilion).
Antara Januari dan Februari 2025, perdagangan dua hala kedua-dua negara mencecah AS$3.96 bilion (RM17.65 bilion) berbanding AS$3.67 bilion (RM16.80 bilion) bagi tempoh sama pada 2024.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami