BANGI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasil siasatan berkaitan FELDA akan diumumkan selepas Pasukan Petugas Khas melengkapkan penelitian terhadap isu yang sedang dikaji.
Beliau berkata, pasukan berkenaan sudah memulakan tugas dan kini kerajaan sedang menunggu laporan penuh sebelum menentukan langkah seterusnya.
“Pasukan Petugas Khas telah bermula dan saya tunggu lengkap siasatan, kemudian kita umum dalam masa yang singkat,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra bersama Pengurusan Tertinggi FELDA di sini, hari ini.
Anwar berkata, penelitian yang dijalankan turut memberi perhatian kepada usaha memperkemas sistem pengurusan FELDA serta mengenal pasti kelemahan yang berlaku sebelum ini.
Menurutnya, pengalaman dan masalah terdahulu perlu dijadikan rujukan bagi memastikan pengurusan FELDA dapat diperkukuh dan berfungsi dengan lebih baik.
“Urusan memperbaiki pengurusan tentunya mengenal pasti permasalahan lalu, tetapi yang penting ialah pengurusan terkini dan langkah-langkah ke depan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak mahu tumpuan hanya diberikan kepada isu lampau, sebaliknya hasil siasatan perlu membantu menentukan pendekatan yang lebih baik untuk pengurusan FELDA pada masa hadapan.
Katanya, setiap kelemahan yang dikenal pasti perlu disusuli dengan tindakan penambahbaikan supaya masalah sama tidak berulang.
Anwar berkata, laporan pasukan petugas itu akan diteliti terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat sebarang pengumuman berkaitan dapatan siasatan serta tindakan susulan.
Dalam pada itu, beliau berkata kemajuan siasatan dan laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan telah dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sebelum ini, Seri Paduka Baginda bertitah supaya siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) serta isu semasa FELDA dilaksanakan secara menyeluruh.
Baginda turut menegaskan supaya tiada kompromi diberikan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan berdasarkan hasil siasatan.
Anwar berkata kerajaan akan memastikan proses penelitian itu diselesaikan dengan sewajarnya sebelum keputusan mengenai tindakan lanjut dibuat.