KUALA LUMPUR : Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ucapan itu dibuat kepada Anwar menerusi panggilan telefon pada Isnin.

Anwar yang berkongsi perkara itu di laman sosialnya, berkata beliau menyatakan komitmen Malaysia untuk sentiasa bersama Palestin bagi memperjuangkan kebebasannya dari cengkaman Zionis Israel.

"Kami mengulangi kesediaan untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin di dalam pelbagai lapangan termasuk perdagangan, hubungan sesama rakyat serta pendidikan.

"Saya juga menzahirkan simpati atas nasib yang menimpa rakyat Palestin dan menegaskan komitmen serta solidariti berterusan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin untuk membebaskan Palestin dari cengkaman Zionis Israel," tegas beliau menerusi panggilan itu.

Jelas Anwar, Malaysia akan terus teguh dalam perjuangan untuk menamatkan penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.

Malaysia di bawah pentadbirannya, kata beliau akan bersama dengan Palestin dalam memastikan keamananan, kebebasan dan kemerdekaannya dapat dikembalikan.