”Masa itu adalah waktu yang terbaik, sekaligus waktu terburuk, masa kebijaksanaan, sekaligus masa kebodohan. Zaman iman, sekaligus zaman keraguan. Musim Terang, sekaligus musim Kegelapan. Musim bunga pengharapan, sekaligus musim dingin keputusasaan. Kita memiliki semuanya di hadapan kita, sekaligus tidak memiliki semuanya.”
— Charles Dickens, Kisah Dua Kota
GENAP setahun selepas peperiksaan SPM, saya membaca (novel Charles Dickens) Kisah Dua Kota dan mengimbas semula bagaimana keadaan saya sewaktu itu. Cerita saya selepas SPM dipenuhi dengan kegembiraan dan detik-detik indah serta marah-marah, keliru, takut dan kesal.
Detik indah dan gembira bermula sebaik sahaja saya tamat menduduki kertas akhir SPM dan meninggalkan bangku sekolah sehinggalah keputusan SPM diumumkan. Apabila keputusan SPM diumumkan, hidup saya jadi tidak tentu arah.
Jujurnya, saya agak kecewa selepas SPM kerana hanya saya di antara kawan-kawan yang tidak ada buah hati. Kawan-kawan yang lain pada waktu itu seronok berkepit dengan cinta hati mereka. Namun hal itu tidak terlalu memberi kesan kepada saya kerana pada waktu itu saya sudah pun menikmati banyak perkara termasuk memulakan perniagaan sendiri, menganjurkan kem remaja dan bekerja dengan NGO. Malah pada masa itu saya rasa bersemangat, kebudak-budakan, gopoh dan sedikit spontan.
Sewaktu keputusan SPM diumumkan, dunia saya berubah dengan tiba-tiba. Apa yang melucukan ialah keputusan saya agak baik. Saya dapat tujuh A1 dan satu C3. Pada waktu itu, kami hanya dibenarkan untuk mengambil lapan hingga sembilan matapelajaran. Saya tidak terkejut dengan keputusan itu tetapi saudara-mara dan rakan-rakan sangat terkejut kerana mereka merasa pelik bila pula masa saya mengulangkaji pelajaran kerana kebanyakan masa saya habiskan dengan bermain bolasepak dan cuba 'mengubah dunia'. Saya sebenarnya mengulangkaji sewaktu rakan-rakan keluar mencari buah hati atau menghabiskan masa dengan 'trofi' mereka.
Walau bagaimanapun, dapat keputusan yang baik telah menyulitkan keadaan. Saya mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajaran di universiti tempatan sebaliknya bercita-cita mahu dapat biasiswa luar negara. Saya dan rakan-rakan (yang juga merancang untuk meninggalkan Malaysia untuk mendapatkan 'pendidikan' yang lebih baik di negara orang) telah memohon biasiswa yang ditawarkan oleh JPA, Petronas, Renong dan macam-macam lagi. Seorang demi seorang kawan saya yang mendapat keputusan kurang cemerlang berbanding saya ditawarkan biasiswa ke beberapa negara, universiti mahupun kolej. Saya pula dipanggil untuk temuduga, selepas satu, satu tetapi tiada yang berjaya.
Kemudiannya saya sedar saya tidak menguasai kemahiran temuduga. Saya cenderung 'berlaku jujur' semasa ditemuduga dan ternyata itu bukanlah sesuatu yang dicari oleh penemuduga terutamanya keinginan saya cuba menyeimbangkan antara 'mengubah dunia', bersukan dan kesibukan hidup sebagai pelajar. Selepas beberapa bulan, masih belum ada sebarang berita mengenai biasasiswa dan akhirnya saya terpaksa menerima hakikat untuk melanjutkan pengajian ke TINGKATAN ENAM!
Susah untuk saya menerimanya. Ia adalah masa yang sukar. Saya melihat rakan-rakan yang terbang ke luar negara atau melanjutkan pengajian ke kelas persediaan untuk ke negara yang eksotik seperti UK, Australia, Amerika Syarikat dan Perancis. (Bagi seorang yang hanya pernah melancong ke dua tempat saja di luar Malaysia, semuanya nampak eksotik di luar negara.)
Tetapi saya terpaksa kembali ke Sekolah Lelaki Methodist di Kuala Lumpur (MBS) dan mengikuti kelas tingkatan enam. Satu-satunya pengubat luka yang ada ialah setidak-tidaknya dalam kelas Tingkatan 6 ada pelajar perempuan (tidak seperti lima tahun sebelumnya). Jadi, mungkin ada sedikit harapan untuk memenuhi bahagian hidup saya iaitu 'bercinta' ketika mana rakan-rakan saya sudah putus cinta yang pertama dan punya kekasih yang kedua atau ketiga.
Hanya saya seorang saja di kalangan rakan-rakan yang kembali ke MBS. Hari-hari yang indah selepas habis SPM kini bertukar jadi hari-hari yang cukup memberikan tekanan. Saya ke sekolah tetapi hati dan jiwa saya cemburu mengenangkan betapa 'beruntungnya' kawan-kawan yang lain sedangkan saya tidak bernasib baik dan jadi mangsa.
Namun keadaan itu tidak berlarutan. Guru besar saya yang cukup berdisiplin yang pernah mengingatkan saya sebagai pemimpin pelajar di MBS yang mahu 'mengubah dunia' supaya jangan mudah jadi mangsa keadaan. Hal ini juga selalu diingatkan oleh bekas jurulatih bola sepak saya, legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari. Dia percaya nasib buruk — dalam hal ini, saya yang 'terkandas' di MBS!! — berlaku kepada semua orang tetapi cara bagaimana seseorang itu menanganinya akan menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin hebat. Menyaksikan Mokhtar Dahari bertarung melawan penyakit yang kemudian membawa kepada kematiannya memberi semangat kepada saya untuk meneruskan hidup dan tidak mudah jadi mangsa kepada keadaan.
Dengan semangat baru itu, saya memutuskan dalam masa beberapa bulan berikutnya untuk mencari jalan bagaimana caranya boleh 'ke luar Malaysia'. Saya tahu bahawa saya mesti terus mencuba; seperti yang dikatakan oleh Mokhtar Dahari berulang-ulang kali kepada kami: Semua perkara memerlukan usaha gigih dan kesabaran. Maka, saya bekerja keras siang dan malam untuk dapat masuk ke universiti di luar negara.
Saya mula mendapatkan borang-borang permohonan ke universiti, memperkemaskan resume dan menulis surat yang terbaik ke beberapa buah universiti menjelaskan kenapa mereka perlu menerima saya dan membiayai pengajian, makanan, tempat tinggal dan banyak lagi. Saya mungkin menggunakan wang simpanan dan pendapatan (daripada perniagaan kecil memberi tuisyen dan lain-lain) serta wang saguhati yang saya terima selepas mendapat keputusan cemerlang (bapa saya kakitangan kerajaan dan saya mendapat hadiah daripada koperasi yang memberikan insentif kepada anak cemerlang) untuk membeli setem. Saya telah mengirim surat ke lebih 1000 buah universiti di serata dunia.
Saya agak terkejut apabila mendapat jawapan daripada banyak universiti ternama. Harvard, Princeton dan Georgetown menerima saya tetapi menawarkan separuh biasiswa yang hanya dapat membiayai 25 peratus daja daripada yurannya. Oleh kerana saya tahu ibu bapa saya tidak mungkin dapat menanggung bakinya (dan saya tidak tahu kerajaan akan membayarkannya jika saya dapat masuk ke universiti utama), saya tidak berhenti memohon kepada universiti-universiti lain.
Akhirnya, sebuah universiti kecil di Connecticut (tidaklah terlalu kecil!) menerima permohonan saya dengan biasiswa penuh yang membiayai makanan, tempat tinggal, tuisyen dan lain-lain. Apa yang saya perlukan hanyalah terbang ke sana. Saya masih ingat lagi, surat itu saya terima pada 18 Disember 1992. Pada 3 Januari 1993, saya menaiki pesawat — dan bertemu bakal isteri — sedia untuk menyambung pelajaran di Connecticut. Kesabaran dan usaha keras saya terbayar dan saya siap untuk memulakan pengembaraan baru di tempat baru iaitu New England.
Apabila sampai di Universiti Bridgeport, saya berjumpa dengan Presiden Universiti (mungkin saya salah seorang yang menerima biasiswa tajaan penuh) dan selepas itu berjumpa dengan penasihat pelajar. Soalan pertamanya — "Kenapa saya memilih universiti ini?" — dan kemudian dia menunjukkan kepada saya bahawa dia tahu yang saya sudah dapat tawaran ke beberapa universiti lain yang "lebih baik". Saya jawab soalan itu dengan tenang. Kemudian dia mengajukan soalan kedua: "Anda ingin belajar apa?"
Saya terdiam. Saya tidak tahu apa yang saya hendak belajar atau apakah kerjaya saya nanti. Saya rasa bapa saya mahu saya jadi jurutera, yang lain hendak saya menjadi akauntan atau kerjaya yang dapat membina masa depan. Saya tatap penasihat itu, Profesor Greenspan dan bertanya kepadanya: "Apakah kursus paling mudah yang ditawarkan yang saya boleh lulus dengan senang?" Dia memandang saya seakan-akan marah sebelum dia bertenang dan berkata: "Perniagaan. Perniagaan antarabangsa, senang." Saya lihat wajahnya dan menjawab: "Okay. Saya ambil kursus itu."
Selesai satu hal. Saya akan mengambil kursus perniagaan. (Beberapa hari kemudian barulah saya sedar bahawa Profesor Greenspan ialah seorang profesor perniagaan dan kerana itu dia mencadangkan kursus tersebut.?
Selepas tamat pengajian dan dapat kerja di General Electric (GE), saya masih tidak tahu apa yang saya cari. Malah, majikan pertama saya memberitahu kononnya saya tidak cekap dengan nombor. Maka, dia mencadangkan supaya saya ditempatkan di bahagian kewangan di GE dan kemudian jadi seorang ketua dan kemudiannya Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di GE. Tetapi pada masa itupun saya masih tidak tahu apa yang saya mahu dalam hidup ini, dan selepas tujuh jawatan di GE, saya akhirnya sedar apa sebenarnya yang saya cari.
Mengenali minat seseorang tidak mudah. Steve Jobs, CEO dan pengasas bersama Apple, tidak tamat kolej serta mengecewakan ibu bapanya kerana "tidak tahu apa apa yang dia cari dalam hidup dan bagaimana kolej boleh membantunya membina kehidupan." Steve pada mulanya bekerja di Atari untuk menyimpan duit melancong ke India demi "mencari minatnya". Di India, dia menghabiskan masa dengan persekitaran dan mengenali Tuhan serta mengenali dirinya. Malah, Steve menyarankann ini kepada sesiapa saja yang baru tamat sekolah menengah:
"Saya fikir anda perlu cari kerja jadi konduktor bas atau apa saja sampailah anda jumpa apa yang anda minat. Saya percaya apa yang membezakan usahawan yang berjaya dengan mereka yang tidak berjaya ialah kesebaran. Ia memang tidak mudah. Anda mengabadikan hidup dalam sesuatu perkara. Adakalanya halangan datang dan saya fikir kebanyakan orang menyerah diri. Tanpa minat yang mendalam, seseorang itu tidak akan bertahan. Orang itu akan menyerah diri. Jadi, anda perlu ada idea atau masalah atau kesilapan yanganda benar-benar ingin betulkan. Jika tidak, anda tidak akan ada kekuatan untuk bertahan. Saya rasa itulah separuh daripada perjuangan."
Apa yang dikatakan oleh Steve itu betul. Anda perlu mencari dulu apa yang anda minat. Ini perkara penting yang perlu anda lakukan selepas SPM. Selepas anda tahu minat itu, anda akan bersemangat untuk jadi seorang yang hebat.
Kebanyakan lepasan SPM mempunyai pengalaman yang sama seperti saya, tidak tahu sama ada mahu meneruskan pengajian atau tidak, belajar di mana, belajar apa, hendak kerja jadi apa dan apa pilihan kerjaya. Oleh itu, selepas SPM (atau sekolah menengah) adalah batu tanda yang penting dalam hidup. Ia penting kepada Steve Jobs dan ia sama pentingnya buat anda.
Bagi kebanyakan lepasan SPM, pilihannya ialah masuk Tingkatan 6 dan mengambil STPM atau A-Levels dan kemudian menentukan kerjaya. Bagi sesetengah orang, mereka mungkin terpaksa membuat penentuan lebih awal. Namun, kita semua berdepan masalah kerana kita tidak tahu apa yang kita minat. Carilah apa yang anda minat dan itulah kunci kehidupan selepas SPM.
Semua jalan akan membawa anda kepada kejayaan sekiranya anda ada minat. Apa saja yang dikurniakan oleh Tuhan dalam hidup ini, anda tidak perlu jadi mangsa keadaan tetapi anda boleh memilih untuk iktibarnya dan menuju kejayaan.
Selamat maju jaya dalam kerjaya!
________________________________________
Roshan Thiran ialah CEO Leadernomics dan pernah bekerja di syarikat gergasi Amerika Syarikat, General Electric dan Johnson & Johnson. Beliau berminat untuk mengembangkan sesiapa saja untuk jadi pemimpin hebat.
Makalah ini dipadankan daripada kata pengantar bukunya, What's After SPM? 101 Stories, 101 Young Malaysians.
Beliau boleh dihubungi di people (at) leaderonomics (dot) com