KOTA BHARU: Dasar membangun bersama Islam yang diamalkan kerajaan Kelantan selama 30 tahun merupakan formula pentadbiran bersih yang diperakui rakyat.

Namun bergerak ke hadapan, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed melihat perlunya kerajaan negeri menerap dan menggerakkan kemodenan berpaksikan Islam yang diterajui anak muda.

"Masuk fasa akan datang, anak muda boleh beri cadangan dan kita alu-alukan pendapat awam bagi membolehkan masyarakat menilai, apa lagi perlu diperbaiki, lontarkan idea bagi mengukuhkan dasar membangun bersama Islam serta bagaimana strategi ini boleh diteruskan di masa hadapan.

"Revolusi Industri 4.0 adalah satu bentuk kemodenan, ini sunnah Rabbaniyah dan perlu diterokai. Kerajaan negeri tidak boleh tolak dan perlu mendepaninya.

"Kemodenan ini hak milik anak muda, kerajaan perlu pandu industri ini agar kemodenan ini tidak membawa kemusnahan.

"Belia perlu mainkan peranan utama dalam menempuhi kemodenan dengan menerapkan ciri-ciri Islam supaya ia boleh kawal kemodenan yang berlaku, kita tidak mahu terjadinya keruntuhan masyarakat," katanya ketika muncul dalam Forum Rakyat Siri 1: Masa Depan Anak Muda Kelantan, di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor menegaskan, anak muda seharusnya dididik dengan elemen penyatuan, kesetiaan dan kestabilan sebagai paksi utama dalam membawa mereka mendekati politik.

"Teras kita di UMNO ialah bersatu, bersetia, berkhidmat. Kita ajar anak muda dari mula mereka masuk parti sehinggalah sudah menjadi veteran, tentang nilai bersatu sesama kita, kesetiaan kepada organisasi, kepada ketua, rakan-rakan serta coalition dan seterusnya memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

"Anak muda sekarang bosan dengan politik sebab mereka nampak perpecahan dan ketidakstabilan. Dalam kerangka besar UMNO dan Barisan Nasional, apa yang kita tawarkan adalah kestabilan dan politik yang membina.

"Kita dekati anak muda, gerakkan minat mereka pada politik dengan cara tunjukkan contoh yang baik seperti politik yang matang, politik yang tidak menipu, tidak tikam belakang dan setia pada parti dan rakan-rakan.

"Kita dedahkan juga kepada anak muda yang baru hendak mulakan hidup, sebelum ada kerja, perlu ada infrastruktur yang baik seperti air dan pengangkutan.

"UMNO tidak ada masalah bekerja dengan kerajaan negeri untuk sediakan kemudahan asas kepada rakyat," jelasnya.