MALAYSIA
APAD tegas isu diskriminasi bahasa dalam sistem agihan tempahan aplikasi e-hailing

APAD memaklumkan pihaknya memandang serius isu tular baru-baru ini berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat khas kenderaan e-hailing serta memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adil dan saksama kepada pemandu.
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya memandang serius isu tular baru-baru ini berkaitan amalan berunsur diskriminasi berasaskan bahasa dalam sistem agihan tempahan sebuah aplikasi perkhidmatan e-hailing yang didakwa tidak memberikan agihan secara adil dan saksama kepada semua pemandu.
"APAD ingin menegaskan bahawa semua perkhidmatan e-hailing wajib mematuhi syarat-syarat pelesenan dan syarat-syarat khas di bawah Perkara 9, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) Syarat Khas (Bahagian III - Operasi) Kenderaan e-Hailing, pemegang lesen perlu memastikan sistem agihan tempahan yang ditetapkan adalah adil dan saksama kepada pemandu," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan sebarang pelanggaran terhadap syarat-syarat berkenaan adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12A(9), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715]."Sekiranya disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak kurang RM1,000 tetapi tidak lebih RM200,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya," menurut kenyataan itu.
APAD memaklumkan agensi itu akan terus memastikan kesinambungan industri perkhidmatan e-hailing sebagai perkhidmatan pengangkutan awam yang adil, telus dan inklusif, serta bebas daripada sebarang unsur diskriminasi terhadap semua pihak berkepentingan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami