EPISOD MIC menyerahkan permohonannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dan kemudiannya memaklumkan kepada RoS kononnya permohonannya pada tempoh hari tidak ‘guna pakai’ menimbulkan pelbagai tanggapan di kalangan orang ramai terutamanya dalam kalangan ahli-ahli politik pelbagai parti.

MIC melakukan tindakan tersebut kerana UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) yang diharapkan akan menyertai PN dalam masa terdekat masih belum menyertai PN.

Memandangkan UMNO, meskipun menyokong kerajaan PN dan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum memuktamadkan keputusannya untuk menyertai PN, menyebabkan MIC membuat keputusan untuk menangguhkan keputusan menyertai PN malah menimbulkan pelbagai persoalan termasuk apakah hasrat untuk menubuhkan PN akan menjadi kenyataan?

Namun, tindakan MIC jelas menunjukkan parti itu bukan sahaja setia kepada UMNO malah menghormati semangat BN membuat keputusan bersandarkan prinsip konsensus yang menjadi amalan gabungan itu sejak ia ditubuhkan.

Imbas kembali

Sekiranya diimbas kembali sejarah politik negara, suasana sama pernah berlaku semasa pilihan raya ketiga pada tahun 1969.

Akibat permainan politik perkauman yang dicetuskan segelintir pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab, kuasa politik Melayu dikhuatiri akan terlepas daripada genggaman orang Melayu.

Rasa syak wasangka antara kaum meningkat dengan mendadak sehingga menyebabkan negara terjerumus dalam kancah kucar-kacir.

Tun Abdul Razak yang mengambil alih kepimpinan UMNO dan pentadbiran negara daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, sedar dan bimbang tentang kedudukan ketidakstabilan politik mampu menghancurkan keamanan negara dan hubungan harmoni antara kaum yang terjalin sejak merdeka.

Justeru, beliau telah berunding dengan semua parti politik, termasuk parti pembangkang seperti Pas, Gerakan dan PPP yang mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-3 untuk mencari jalan yang terbaik bagi menyelamatkan negara daripada kehancuran.

Rundingan tersebut membawa kepada kesepakatan untuk menubuhkan BN pada 1 Januari 1974.

Penubuhan BN pada ketika itu sememangnya tepat pada masanya kerana permuafakatan antara parti-parti bersifat kaum berjaya mengatasi politik perkauman sehingga membawa kejayaan besar kepada BN pada pilihan raya umum pada tahun 1974.

Pada tahun tersebut, BN memenangi 135 kerusi daripada 154 kerusi Parlimen.

Penubuhan BN jelas menunjukkan pemimpin parti politik ketika itu mendahulukan kepentingan kestabilan politik negara daripada permainan politik kepartian semata-mata.

Dalam peredaran masa, tanggapan orang bukan Melayu terhadap BN menyebabkan mereka menjauhkan diri daripada BN, bahkan semakin menolak BN bermula pada Pilihan Raya Umum ke-12, 13 dan 14.

Meskipun UMNO masih meraih sokongan daripada orang Melayu dan menang di beberapa kawasan majoriti Melayu, namun orang bukan Melayu dan sebahagian kecil orang Melayu menolak BN di kawasan bandar dan kawasan campuran pada PRU14 yang menyebabkan tumbangnya kerajaan BN.

Orang Melayu yang bimbang akan kehilangan kuasa politik yang diwarisi telah berpakat menubuhkan Muafakat Nasional (MN) untuk mempertahankan kuasa politik mereka dari hilang.



Pada masa yang sama, PN, sebuah pakatan politik baharu timbul selepas ‘Langkah Sheraton’ yang disertai beberapa Ahli Parlimen daripada MN, BN dan sebahagian ahli daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak.

Sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada pelbagai parti menyebabkan kerajaan PN ditubuhkan pada 9 Mac 2020 yang diterajui Muhyiddin.

Menurut satu kajian, daripada jumlah 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, sebanyak 115 kerusi adalah dari kawasan majoriti Melayu, 21 kerusi majoriti Cina dan 29 kerusi campuran.

Dengan taburan pengundi tersebut, KEADILAN berjaya memenangi 48 daripada 71 kerusi, DAP memenangi 42 daripada 47, Bersatu memenangi 13 daripada 52 dan Amanah pula memenangi 11 daripada 34 kerusi pada PRU ke-14.

KEADILAN dan DAP berjaya menawan hampir semua kerusi yang ditandingi di kawasan bandar dan semi bandar.

Perlu ingatkan bahawa segelintir penganalisis politik mendakwa kerajaan PH jatuh pada Februari 2020 bukanlah disebabkan mereka tidak mendapat sokongan majoriti rakyat, tetapi akibat kegagalan PH untuk memahami dan menyesuaikan strategi-strategi seiring dengan realiti politik semasa dalam negara.

Meskipun sehingga sekarang UMNO dan BN menyokong kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin, malah Bersatu, Pas dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) telah membuat permohonan untuk menyertai PN, UMNO masih belum menyatakan hasrat untuk menyertai PN.

Apa-apa pun, kepimpinan parti-parti politik, sama ada mewakili orang Melayu atau bukan Melayu perlu menyedari persepsi rakyat terhadap kedudukan politik semasa negara.

Mereka harus menghayati kebijaksaan dan semangat setia kawan pemimpin-pemimpin parti politik yang mendahului kepentingan negara daripada kepentingan parti masing-masing dalam menubuhkan BN ketika negara menghadapi krisis ketidakstabilan politik pada tahun 70an.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.