APEC 2025: Anwar seru penyertaan lebih besar negara Selatan Global

Anwar menekankan tadbir urus kolaboratif dan pendekatan menyeluruh, melibatkan kerajaan, industri, akademia dan komuniti dalam menangani cabaran global serta mendorong perubahan bermakna. - Foto PMO
GYEONGJU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar penyertaan ekonomi-ekonomi dari Amerika Latin dan Afrika diperkasakan dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Ringkasan AI
- Malaysia menyeru penyertaan lebih luas dari Amerika Latin dan Afrika dalam APEC bagi memperkukuh agenda ekonomi global yang lebih inklusif dan berimpak tinggi, serta merapatkan jurang antara negara Global Utara dan Selatan.
- Anwar menekankan tadbir urus kolaboratif dan pendekatan menyeluruh, melibatkan kerajaan, industri, akademia dan komuniti dalam menangani cabaran global serta mendorong perubahan bermakna.
- Ucapan beliau selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI, menyokong pertumbuhan hijau, transformasi digital dan keselamatan makanan, sambil menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau dan pembangunan inklusif.
“Penyertaan lebih besar daripada ekonomi Amerika Latin dan Afrika, sama ada melalui penglibatan formal atau tidak formal, akan menterjemahkan agenda APEC kepada sesuatu yang lebih transformatif, inklusif dan benar-benar berimpak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC - Sesi 1 bertemakan “Ke Arah Rantau yang Lebih Terhubung dan Berdaya Tahan” di sini pada Jumaat.
Anwar berkata masa depan kerjasama global bergantung kepada keupayaan untuk memupuk kolaborasi merentas rantau dan sektor, sambil menyatakan sokongan Malaysia terhadap usaha menjadikan APEC lebih mewakili kepelbagaian realiti ekonomi dunia.
Perdana Menteri turut mengetengahkan konsep tadbir urus kolaboratif, yang disifatkannya sebagai pendekatan berasaskan perkongsian matlamat dan bukan semata-mata perkongsian kuasa.
“Tadbir urus kolaboratif bukan tentang berkongsi kuasa. Ia tentang berkongsi tujuan,” katanya.
Beliau menekankan kepentingan pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, industri, akademia dan komuniti dalam menangani cabaran global yang kompleks serta mendorong perubahan yang bermakna.
Ucapan Anwar turut selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan daya tahan, keterangkuman dan kelestarian.
Beliau menyatakan bahawa fokus APEC terhadap pertumbuhan hijau, transformasi digital, rantaian bekalan yang berdaya tahan dan keselamatan makanan adalah sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.
Perdana Menteri turut mengalu-alukan pertemuan yang dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping, yang disifatkannya sebagai langkah positif ke arah memperkukuh dialog dan kerjasama serantau.
Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja sebagai peringatan bahawa keamanan perlu dipupuk melalui kepercayaan dan diplomasi, sambil menarik perhatian kepada konflik yang berterusan di Gaza dan Ukraine.
Anwar menutup kenyataan negara dengan menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau dan pembangunan inklusif, sambil menyatakan bahawa masa depan akan menjadi milik rantau yang mampu memupuk kolaborasi di semua peringkat masyarakat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


