APEC 2025: Jangan abaikan kompas moral tatkala kejar teknologi - PM Anwar

Perdana Menteri hadir pada Sesi 2 Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bertemakan “Preparing a Future-Ready Asia Pacific” di sini pada Sabtu. - Foto Bernama
GYEONGJU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) memainkan peranan utama dalam memastikan pembangunan teknologi, khususnya kecerdasan buatan (AI), berlaku secara inklusif, beretika dan tidak menjejaskan nilai kemanusiaan.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menyeru APEC memastikan pembangunan teknologi, khususnya AI, berlaku secara inklusif, beretika dan tidak menjejaskan nilai kemanusiaan.
- Isu akses teknologi adil, keselamatan siber, kelestarian alam sekitar dan tadbir urus bertanggungjawab perlu diberi perhatian dalam pembangunan ekosistem digital.3, Malaysia menyokong penggunaan AI untuk inovasi dan kesejahteraan masyarakat, sambil memastikan pertumbuhan pusat data selari dengan agenda hijau dan nilai moral.
“APEC perlu mengambil maklum dalam kajian dan cadangan akan datang bahawa akses teknologi mesti adil, tanpa diskriminasi dan tidak mewujudkan jurang digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sesi 2 Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bertemakan “Preparing a Future-Ready Asia Pacific” di sini pada Sabtu.
Anwar turut memetik falsafah Martin Heidegger yang menyatakan bahawa hakikat teknologi bukan terletak pada mesin yang dibina, tetapi bagaimana ia membentuk pemikiran, tingkah laku dan tujuan hidup manusia.
“Beliau mengingatkan bahawa sama ada kita meraikan atau menolak teknologi, kita tetap berisiko menjadi tidak bebas dan terikat dengannya. Pandangan ini amat relevan hari ini,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia komited mempromosikan AI dan industri semikonduktor secara agresif kerana percaya teknologi mampu mengangkat tamadun.
“Kami menyokong penggunaan AI untuk memperluas ilmu, mempercepat inovasi, membuka peluang dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat. Kami juga mengalu-alukan pelaburan pusat data, pembangunan kapasiti digital serta peluang pekerjaan dan industri baharu,” katanya.
Namun, beliau menegaskan bahawa kemajuan teknologi tidak boleh mengorbankan alam sekitar atau kompas moral.
“Perbincangan hari ini juga perlu menyentuh tentang kekecewaan yang semakin meningkat dalam kalangan anak muda terhadap golongan elit. Terdapat kehilangan nilai dan kekaburan dalam keadilan serta kemanusiaan dan kita lihat ini berlaku di negara maju,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata pembangunan infrastruktur ekonomi berasaskan AI perlu disertai dengan komitmen terhadap tenaga boleh diperbaharui, kelestarian dan tadbir urus yang bertanggungjawab.
“Pertumbuhan pusat data, contohnya, mesti selari dengan agenda hijau dan tanggungjawab kita untuk melindungi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Mengakhiri kenyataan negara, beliau menegaskan bahawa matlamat Malaysia bukanlah dunia yang ditentukan oleh mesin, tetapi masa depan di mana AI memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa insani.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


