APEC 2025: Malaysia-Korea Selatan perkukuh kerjasama teknologi hijau dan AI - PM Anwar

Anwar hadir pada sidang media mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 di sini, hari ini. - Foto PMO
GYEONGJU: Malaysia dan Korea Selatan terus memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Ringkasan AI
- Dua syarikat Korea komited melabur RM1.1 bilion di Malaysia Namhae Corporation (RM500 juta) untuk eksport ammonia dan baja hijau, JS Link (RM600 juta) untuk pemprosesan nadir bumi di Pahang.
- Pelaburan ini selari dengan dasar kerajaan menggalakkan pemprosesan bernilai tambah dalam negara, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hijau dan nadir bumi.
- JS Link sudah membeli tanah dan kilang lama untuk diubah suai; kerajaan pusat dan negeri akan mempercepatkan kelulusan projek yang dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Namhae Corporation bersetuju untuk meningkatkan eksport ammonia dan urea hijau bernilai setengah bilion ringgit. Ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi hijau,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, syarikat JS Link dari Korea turut menyatakan komitmen pelaburan sebanyak RM600 juta dalam sektor pemprosesan nadir bumi di Pahang, sekali gus menjadikan jumlah pelaburan keseluruhan daripada kedua-dua syarikat mencecah RM1.1 bilion.
Menurut Anwar, JS Link telah membeli tanah dan mengambil alih sebuah kilang lama di Pahang untuk diubah suai menjadi pusat pemprosesan bahan nadir bumi berteknologi tinggi, termasuk penghasilan ‘super magnet’.
“Ini bukan sekadar memorandum persefahaman (MoU), tetapi pelaburan sebenar yang telah bermula. Mereka telah membeli tanah dan kilang lama untuk diproses semula. Ini akan mempercepatkan proses pelaburan,” katanya.
Tambah beliau, pelaburan ini selari dengan dasar kerajaan yang tidak lagi membenarkan eksport bahan mentah nadir bumi, sebaliknya menggalakkan pemprosesan bernilai tambah di dalam negara.
Anwar turut memaklumkan bahawa beliau akan bertemu Menteri Besar Pahang pada hujung minggu ini bagi mempercepatkan proses kelulusan dan pelaksanaan projek tersebut, manakala Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual meninjau tapak projek pada Isnin.
“Kerajaan Persekutuan akan memastikan kerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi memastikan pelaburan ini dapat direalisasikan dalam masa terdekat,” katanya.
Pelaburan ini dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi hijau dan pemprosesan nadir bumi di rantau ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


