Inisiatif pembiayaan KUSKOP perkukuh akses pembiayaan PMKS - FMM

Lee berkata inisiatif dengan peruntukan berjumlah RM100 juta itu bertujuan untuk memperkukuh akses kepada pembiayaan bagi PMKS terutama bagi komuniti perniagaan Cina. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyambut baik pelancaran program pembiayaan baharu di bawah inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), BR Prosper-i dan SME Bank SUCCESS.
Ringkasan AI
- FMM menyokong program pembiayaan baru oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), khususnya komuniti perniagaan Cina. Program BR Prosper-i dan SME Bank SUCCESS bernilai RM100 juta bertujuan memperkukuh akses pembiayaan.
- Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, menyatakan kepentingan akses kepada pembiayaan dan aliran tunai bagi PMKS dalam ketidaktentuan perdagangan global. Beliau berharap kemudahan ini dapat diperluaskan untuk manfaat seluruh komuniti perniagaan.
- FMM berharap program-program pembiayaan serupa dapat dilancarkan secara berterusan dengan peruntukan tahunan yang konsisten bagi menyokong pembangunan PMKS dan menggerakkan industri Malaysia ke arah daya saing global yang berteraskan keupayaan.
"Kami berharap kemudahan ini juga boleh diperluaskan kepada perniagaan merentasi seluruh komuniti, selaras dengan objektif yang lebih luas untuk menyokong pembangunan dan keterangkuman PMKS," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 29 Januari, KUSKOP melancarkan inisiatif pembiayaan bernilai RM100 juta bagi memperkukuh akses pembiayaan kepada PMKS Cina yang akan dilaksanakan melalui agensinya Bank Rakyat dan SME Bank.
Lee berkata FMM berharap lebih banyak program sedemikian dapat dilancarkan pada masa hadapan dan diinstitusikan atau dilaksanakan secara berterusan melalui peruntukan tahunan yang konsisten di bawah belanjawan negara bagi memastikan sokongan yang berterusan dan meluas untuk pembangunan PMKS.
"FMM menyokong inisiatif pembiayaan yang membolehkan pengeluar meningkatkan skala, mempertingkat rantaian nilai dan kekal berdaya saing di peringkat global, selaras dengan visi FMM sejak sekian lama untuk menggerakkan industri Malaysia daripada persaingan berasaskan kos kepada persaingan berteraskan keupayaan.
"Inisiatif sedemikian, apabila dilengkapkan dengan strategi perindustrian negara yang lebih luas akan memberi sumbangan penting kepada pengukuhan kemampanan dan daya tahan ekosistem PKS Malaysia," kata Lee.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


