APEC 2025: PM akan tumpu teknologi, inovasi, AI - Duta

Mohd Zamruni berkata, APEC tahun ini bertemakan 'Building a Sustainable Tomorrow', dengan tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu Connect, Innovate dan Prosper. --fotoBERNAMA
GYEONGJU (Korea Selatan): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi tumpuan kepada aspek teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam kenyataan Malaysia semasa Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2025 yang akan membuka tirai hujung minggu ini.
Ringkasan AI
- Fokus Malaysia di APEC 2025: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menekankan teknologi, inovasi dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu transformasi digital dan daya saing ekonomi serantau.
- Agenda utama perbincangan: Anwar akan menyorot kepentingan keterangkuman dalam rantaian bekalan, kerjasama ekonomi digital dan inovasi untuk pertumbuhan pasca-pandemik, selaras dengan tema APEC 2025 -Building a Sustainable Tomorrow.-
- Kerjasama dan hasil persidangan: APEC 2025 dijangka meluluskan Gyeongju Declaration serta inisiatif AI dan pembangunan kreatif, manakala penyertaan Malaysia memperkukuh hubungan dua hala dengan Korea Selatan dalam bidang pertahanan, maritim, tenaga dan infrastruktur.
Beliau berkata, Anwar akan menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sesi APEC Economic Leaders’ Retreat bertemakan ‘Preparing a Future-Ready Asia Pacific’ pada 1 November, yang akan menekankan pendekatan Malaysia dalam menghadapi perubahan demografi serta memanfaatkan inovasi teknologi untuk pembangunan mampan.
Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri APEC Economic Leaders’ Informal Dialogue with Guests pada 31 Oktober yang bertemakan ‘Towards a More Connected, Resilient Region and Beyond’.
“Perdana Menteri akan menekankan kepentingan keterangkuman dalam rantaian bekalan serantau, kerjasama ekonomi digital serta inovasi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi pasca-pandemik,” jelas Mohd Zamruni.
Menurut beliau, Anwar turut akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri utama serta menyertai sesi bersama US-APEC Business Coalition bagi membincangkan peluang pelaburan baharu dan pengukuhan hubungan dagangan.
Majlis Makan Malam Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC pula akan dihoskan oleh Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung pada 31 Oktober.
Mohd Zamruni berkata, APEC tahun ini bertemakan “Building a Sustainable Tomorrow”, dengan tumpuan kepada tiga keutamaan utama iaitu Connect (pengukuhan kesalinghubungan), Innovate (pembangunan berasaskan inovasi), dan Prosper (pembangunan mampan yang inklusif).
Beliau menjelaskan, hasil utama persidangan kali ini ialah Gyeongju Declaration yang dijangka diluluskan oleh semua pemimpin APEC, di samping tiga dokumen tambahan iaitu APEC AI Initiative, Collaborative Framework for Demographic Changes, serta Leaders’ Statement on Cooperation in Cultural and Creative Industries.
“Penyertaan Malaysia di APEC 2025 juga memperkukuh hubungan dua hala dengan Republik Korea, khususnya dalam bidang pertahanan, maritim, AI, tenaga dan infrastruktur,” katanya.
Korea Selatan merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Malaysia pada 2024 dengan jumlah dagangan sebanyak RM109.68 bilion (US$24.01 bilion).
Delegasi Perdana Menteri akan turut diiringi Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai kanan kerajaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


